Saturday 24 October 2015

Pembentangan bajet 2016 yang dilakukan oleh Perdana Menteri.

Sewaktu pembentangan bajet 2016 yang dilakukan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak kelmarin, hampir semua Ahli Parlimen pembangkang sekali lagi menunjukkan perangai kurang ajar mereka terhadap Perdana Menteri dengan mengangkat sekeping kertas yang bertulis “Mana Wang 2.6 bilion kami”.

Semua ini dilakukan oleh Ahli Parlimen yang terdiri daripada DAP, PKR dan PAN. Masing-masing mahu menjadi hero rakyat dengan kononnya masih mempertikaikan prihal wang derma yang diterima oleh Perdana Menteri daripada salah satu keluarga Di Raja Arab Saudi berkenaan hampir dua bulan lalu.

Namun menariknya, Ahli Parlimen PAS yang kini sudah dipinggirkan oleh pakatan baru pembangkang, Pakatan Harapan, enggan melakukan perkara yang sama seperti rakan pembangkang mereka yang lain. Kesemua mereka dilihat tidak mengangkat kad berkenaan sebaliknya memilih untuk mendiamkan diri apabila rakan pembangkang mereka yang lain bertindak begitu.

Ini kali kedua Ahli Parlimen PAS bertindak tidak bersependapat dengan rakan Pakatan Harapan mereka. Ianya seolah-olah satu tindakan membalas dendam dari mereka terhadap semua penghinaan dan pemulauan yang dilakukan oleh semua gabungan parti yang menganggotai Pakatan Harapan sebelum ini.

Tindakan PAS ini adalah ulangan terhadap penyingkiran bekas Ketua Pembangkang merangkap Ahli Parlimen Gelang Patah, Lim Kit Siang yang baru-baru ini telah digantung untuk menghadiri sidang Dewan Rakyat selama 6 bulan akibat perbuatan biadab dan tidak menghormati Speaker Dewan Rakyat.

Ramai pemerhati politik melihat tindakan PAS ini merupakan isyarat jelas bahawa PAS kini enggan lagi bersekongkol dengan Pakatan Harapan dalam banyak segi yang kadangkala merugikan PAS dalam banyak perkara. Ditambah pula dengan tindakan biadab PAN yang sedaya upaya “mencuri” ADUN dan Ahli Parlimen PAS di semua kawasan yang dikuasai PAS.

Sekalung tahniah untuk Ahli Parlimen PAS yang kali ini bertindak matang dan bijak dalam berpolitik walaupun mereka masih lagi duduk di penjuru kiri Parlimen.

No comments:

Post a Comment