Monday 26 October 2015

Kerjasama antara PKR dan PAS ketika ini tidak ada kena mengena dengan PR.

PAS patut melupakan nostalgia parti itu masih wujud dalam Pakatan Rakyat (PR) kerana kerjasama pembangkang ketika ini adalah di dalam Pakatan Harapan.
Bagi membuktikan PR sudah berkubur, Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP Tony Pua mencadangkan satu mesyuarat majlis presiden PR diadakan.

“Kalau PR masih hidup, mungkin sesiapa boleh mengadakan mesyuarat majlis presiden PR dan lihat siapa yang akan hadir.

“Mungkin hanya PAS yang akan muncul. Jadi, jika itu yang berlaku, maka ia (PR) tidak wujudlah,” kata Pua kepada media selepas merakamkan kenyataan di Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya, Ahad.

Sebelum ini, PAS dan PKR menyatakan kedua-dua parti itu masih kekal di dalam PR walaupun sudah ujud Pakatan Harapan membabitkan PKR, DAP dan Amanah.

Pua menafikan dakwaan Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man yang menyatakan PR masih hidup.

Ini memandangkan PAS dan PKR masih terikat dalam pentadbiran kerajaan negeri Selangor dan kerjasama parti itu di Kelantan.

“Pendirian DAP sama sampai mati, PR tidak lagi wujud.,” katanya.

Menegaskan semuanya kini berakhir, beliau berkata sebarang kerjasama antara PKR dan PAS ketika ini tidak ada kena mengena dengan PR sebagai satu pakatan rasmi seperti sebelum ini.

Bagaimanapun, Pengarah Pilihan Raya PKR Datuk Saifuddin Nasution Ismail berkata, PR sudah lama terkubur dan satu-satunya perikatan politik yang dianggotai PKR ialah Pakatan Harapan, yang turut dianggotai DAP dan Amanah.

No comments:

Post a Comment