Tuesday 24 November 2015

Sikap DAP inilah yang merosakkan hubungan Pakatan Rakyat selama ini dan pasti akan terus menjadi duri dalam daging dalam Pakatan Harapan.

Menurut Naib Ketua Pemuda PAS Khairil Nizam Khirudin, DAP nampaknya lebih bersungguh-sungguh mahu PAS bergabung dengan Umno, berbanding dengan orang PAS sendiri.

Tambahnya lagi, ini terutamanya dengan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng yang didakwa Khairil marah impiannya untuk melihat Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dijatuhkan dalam muktamar yang lepas, tidak menjadi kenyataan.

PAS, tegasnya, kekal istiqmah dengan perjuangannya tanpa sedikit pun ruang untuk bergabung dengan Umno seperti yang dicita-citakan oleh DAP.

"Memang pelik bila DAP lebih bersungguh mahu PAS bergabung dengan Umno berbanding orang PAS sendiri," katanya dalam satu kenyataan semalam.

Menurutnya lagi, DAP pula yang lebih ghairah "bermimpi hingga melupakan tanggungjawab mereka dalam menguruskan amanah rakyat dan parti mereka sendiri".

"DAP memang suka dilihat sebagai parti yang suka cari gaduh dengan rakan-rakan sekutu mereka dan cuba menunjukan perangai “Abang Besar” dalam Pakatan," katanya.

Tidak cukup dengan PAS, dakwanya, kini DAP mula menyerang PKR di Pulau Pinang pula dan menuduh 5 ADUN PKR menyokong dan bersekongkol dengan Umno.

Khairil merujuk kepada kritikan Lim terhadap lima ADUN PKR itu yang berkecuali berhubung usul Umno di Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang berkaitan projek penambakan di negeri ini.

Khairil juga mendakwa bahawa kerajaan DAP juga telah menggugurkan empat daripada lima usul yang dikemukakan oleh ADUN PKR Penanti, Norlela Ariffin dalam persidangan Dewan Undangan Negeri lepas.

"DAP semakin angkuh khususnya di Pulau Pinang dan cuba membolot semua keputusan yang dibuat oleh kerajaan negeri hingga mengenepikan hak parti-parti Pakatan lain untuk bersuara.

"Sikap DAP inilah yang merosakkan hubungan Pakatan Rakyat selama ini dan pasti akan terus menjadi duri dalam daging dalam Pakatan Harapan," tegasnya

Terengganu akan menjadi model perpaduan untuk melayu dan ISLAM.

Pendekatan Kerajaan Terengganu(UMNO/BN) yang membuka pintu luas untuk PAS menyumbang idea dan pandangan  untuk pembangunan menyeluruh melayu dan ISLAM di bumi Terengganu akan menjadi  kenyataan.

Terengganu akan menjadi model perpaduan untuk melayu dan ISLAM secara keseluruhannya dengan Presiden PAS yang kini diserang bertubi-tubi oleh Pakatan Harapan (PH) akan bersama UMNO dan kerajaan bagi menaikkan syiar Islam di Bumi Darul Iman.

Juru cakap PAS Kawasan Kuala Terengganu, Ahmad Amzad Hashim yang menyataka pendekatan PAS  terhadap UMNO telah berubah dan ini telah dikeluarkan oleh beberapa portal serta bayangan  gabungan itu akan berlaku dalam masa yang terdekat sebelum pilihan raya umum ke 14 nanti.

Menurut Jaafar Salleh,33 (pekerja swasta) ditemui Terengganu disekitar Kuala Terengganu hari ini menyatakan kesediaan kerajaan UMNOBN Terengganu untuk membuka ruang kepada PAS amat bertempatan pada masa ini dengan pelbagai fitnah dan penghinaan terhadap agama ISLAM dan Melayu.

“saya mengharapkan gabungan ini menjadi realiti di masa sekarang ini kerana kita telah melihat perpecahan melayu Islam yang cukup lama berlaku dalam negara kita”

“Sudah tiba masanya melayu ISLAM bangkit dari diperkotak katikkan oleh extrimis agama lain yang mana kita sedia makalum ada gerakan untuk menjadikan  negara ini sebuah negara kristian” katanya.

Sehubungan dengan itu beliau juga melihat dari beberapa sudut pembangunan sahsiah dan juga social akan menjadi lebih stabil bila mana gabungan dua idea parti politik terbesar ini akan menjadi realiti.

“Harapan seluruh rakyat Terengganu dan Malaysia, mahu melihat negeri serta negara akan terus subur dengan dakwah-dakwah dan juga program-program berkaitan AGAMA ISLAM”tambahnya.

Pusat Penyelidikan PAS (PPP) menjangka bahawa jangka hayat Pakatan Harapan adalah lebih pendek daripada Pakatan Rakyat.

Pusat Penyelidikan PAS (PPP) menjangka bahawa jangka hayat Pakatan Harapan adalah lebih pendek daripada Pakatan Rakyat.

Pengarahnya Zuhdi Marzuki (foto) berkata ini berdasarkan kepada konflik yang berlaku antara parti-parti komponen Pakatan Harapan, PKR, DAP dan parti serpihan PAS - Parti Amanah Rakyat (AMANAH).

"Berdasarkan kepada konflik yang berlaku antara parti-parti komponen dalam Pakatan Harapan hari ini, ditambah lagi dengan masalah dalaman di dalam parti masing-masing, dijangkakan paling lama hayat Pakatan Harapan boleh bertahan ialah sebaik sahaja selepas PRU14.

"Malah PPP tidak menolak, kemungkinan gabungan itu berakhir lebih awal dari PRU14 juga adalah tinggi, berikutan satu demi satu konflik di kalangan mereka timbul," kata Zuhdi dalam satu kenyataan.

Kenyataan Zuhdi itu muncul selepas Setiausaha Agung DAP yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng membidas PKR selepas lima ADUN parti itu berkecuali daripada mengundi terhadap usul ADUN Umno menggesa ketelusan dalam projek tebus guna tanah di Pulau Pinang.

Timbalan Presiden PKR yang juga Menteri Besar Selangor, Azmin Ali juga memberitahu rakan AMANAH supaya berhenti mengkritik kerajaan negeri Selangor, yang masih dianggotai oleh wakil dari PAS.

PPP, tambah Zuhdi, berberpandangan bahawa Pakatan Harapan tidak akan dapat mengulangi prestasi Pakatan Rakyat dalam PRU13 kerana mendakwa mereka akan kehilangan sokongan pengundi Melayu.

Zuhdi juga menjangka Pakatan Harapan tidak akan dapat meraih sokongan pengundi India, disebabkan "tiada tokoh besar kaum India di dalam Pakatan Harpan hari ini".

Di samping itu, katanya, Pakatan Harapan juga akan menghadapi masalah dalam pembahagian isu kerusi untuk bertanding dalam pilihan raya umum akan datang.

Pada pilihan raya umum ke-13, Pakatan Rakyat berdepan satu lawan satu dengan BN, kecuali di dua di mana PAS dan PKR bertembung dalam pertandingan tiga penjuru.

Sunday 22 November 2015

Pas melancarkan gerakan menjadi ahli di usia muda.

KOTA BHARU - Pas melancarkan gerakan menjadi ahli di usia muda dengan membuka keahlian seawal 13 tahun dalam misi memantapkan lagi perjuangan Islam di negara ini.

Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, Pas sentiasa berusaha menambah keahlian kerana ia menggambarkan betapa kuat dan mantapkan perjuangan mereka dalam memartabatkan agama Islam di negara ini.

“Sejak ditubuhkan pada 1951 sehingga hari ini, keahlian Pas sudah mencecah 1.6 juta, dan kita sentiasa berusaha menambah keahlian kerana ramainya ahli menzahirkan sejauh mana kekuatan kita.

“Ia juga akan menggambarkan betapa hebatnya perjuangan Islam di negara ini,” katanya dalam ucapan aluan sempena pelancaran gerakan menjadi ahli di awal usia di sini, kelmarin.

Takiyuddin yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu berkata, gerakan menjadi ahli di usia muda dilancarkan buat pertama kalinya di negeri ini sempena Sambutan 60 Tahun Kerajaan Pas Kelantan di sini, malam tadi.

“Berdasarkan perlembagaan, lima syarat melayakkan seseorang menjadi ahli Pas, iaitu, Islam, warganegara, cukup umur mengikut hukum syarat (Pas menetapkan umur minimum menjadi ahli ialah 13 tahun) selain mengaku menerima serta taat kepada perlembagaan parti, peraturan, arahan dan keputusan parti dari masa ke semasa.

“Manakala bagi pelajar institusi pengajian tinggi, mereka perlu mendapatkan kebenaran daripada pihak universiti terlebih dahulu,” katanya.

Sementara itu, majlis pelancaran yang disempurnakan Naib Presiden Pas, Idris Ahmad turut menyaksikan kira- kira 1000 borang diagihkan sebagai permulaan.

“Ahli yang menyerahkan borang dalam tempoh seminggu bermula hari ini akan mendapatkan keahlian percuma manakala penyerahan (borang) selepas tarikh ditetapkan perlu membayar yuran pendaftaran sebanyak RM5 dan RM3 untuk yuran tahunan,” katanya.

1,083 anggota Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dari parti itu di negeri ini meletakkan jawatan berkuatkuasa serta-merta. 

KEPALA BATAS – Badan Perhubungan PAS negeri Pulau Pinang hari ini mengarahkan kesemua 1,083 anggota Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dari parti itu di negeri ini meletakkan jawatan berkuatkuasa serta-merta. 

Pesuruhjaya PAS negeri Muhammad Fauzi Yusof berkata surat arahan meletakkan jawatan dan menamatkan perkhidmatan sebagai anggota JKKK itu akan diedarkan dalam tempoh terdekat dan semua anggota terlibat diminta untuk mematuhi arahan itu. 

“Kami mengambil keputusan untuk memberhentikan kesemua ahli-ahli PAS yang berkhidmat di dalam JKKK dalam semua kuota, kuota DAP, kuota PKR mahupun kuota campuran. Semua kita akan berhentikan. 

“Kita tak izinkan mereka (kerajaan negeri) mengambil ahli-ahli kita untuk dimasukkan dalam senarai JKKK. Kita tidak mahu ahli JKKK PAS di negeri ini terus dimanipulasikan termasuk bagi memenuhi kuota JKKK di kawasan PKR dan DAP,” katanya pada sidang media di Markas PAS Pongsu Seribu, di sini Ahad. 

Beliau berkata keputusan itu dibuat selepas kerajaan DAP Pulau Pinang banyak menyinggung perasaan umat Islam termasuk isu hukum hudud, pemecatan anggota pihak berkuasa tempatan dari PAS dan isu pemberian dana sekolah agama rakyat di negeri ini. 

“Keputusan ini dipersetujui oleh majoriti anggota JKKK PAS di negeri ini selepas mengadakan dua pertemuan dengan mereka. Kebanyakan mereka mahu dan bersedia untuk meletakkan jawatan. Jadi, dengan sidang media ini tidak jadi keberatan untuk mereka meneruskan niat itu,” katanya. 

Muhammad Fauzi turut mempersoalkan tindakan kerajaan negeri memecat 300 anggota JKKK dari PAS di Kepala Batas dan mendakwa maklumat berkenaan adalah tidak tepat. 

“Mengapa hanya pecat 300 orang sahaja. Adakah yang dipecat itu hanya dalam kuota PAS sahaja sedangkan ahli-ahli PAS yang berkhidmat dalam JKKK ini berada dalam kuota DAP, PKR dan kuota campuran. Jadi kenapa pecat 300 orang. 

“Hasil daripada pemecatan tersebut kita dapati bahawa JKKK daripada kalangan ahli PAS itu ada yang tidak menerima notis pemecatan. Hanya beberapa orang sahaja yang menerima notis pemecatan. Jadi mana 300 orang yang didakwa dipecat. 

“Kemudian ada yang mendapat notis pemecatan daripada Setiausaha Kerajaan Negeri yang bertarikh 11 Nov 2015 dan kenyataan (Timbalan Ketua Menteri I Datuk Mohd Rashid Hasnon) kata notis pemecatan berkuatkuasa pada 15 Nov 2015. Tapi keputusan mesyuarat kerajaan negeri pula kata berkuatkuasa pada 4 Nov 2015, dari segi tarikh pun kerajaan negeri buat pembohongan,” katanya. 

Mengulas mengenai status wakil tunggal PAS Datuk Mohd Salleh Man dalam kerajaan negeri berikutan pengisytiharan parti itu sebagai pembangkang di negeri ini, Muhammad Fauzi berkata beliau akan mengadakan perjumpaan dengan Anggota Dewan Undangan Negeri Permatang Pasir itu dalam masa terdekat. 

Bagaimanapun, beliau berkata pihaknya menyerahkan kepada PAS pusat untuk membuat keputusan berhubung status Salleh Man. 

“Saya sudah menghubungi beliau dan meminta untuk menetapkan satu tarikh pertemuan. Kita akan menasihati beliau mengikut etika dan adab di dalam parti,” katanya. Beliau berkata sebagai seorang anggota PAS Salleh Man seharusnya istiqamah dalam perjuangan PAS dan mengingati lafaz bai’ah yang dibuat ketika mula-mula menjadi anggota parti itu.

KENYATAAN MEDIA ANGKATAN MUDA KEADILAN PULAU PINANG KEPADA KETUA MENTERI PULAU PINANG

KENYATAAN MEDIA ANGKATAN MUDA KEADILAN PULAU PINANG KEPADA KETUA MENTERI PULAU PINANG

Angkatan Muda Keadilan Pulau Pinang amat kecewa terhadap tuduhan YAB Ketua Menteri Tuan Lim Guan Eng yang mengatakan bahawa 5 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Keadilan memihak kepada UMNO adalah tidak wajar. 

Tuduhan tidak berasas ini tidak patut dikeluarkan oleh seorang Ketua Kerajaan kepada ADUN yang menyokong kepimpinan beliau sejak 2008.

Keputusan untuk tidak mengundi pada usul isu tebus guna tanah seluas lebih 2, 600 hektar itu tidak boleh dijadikan kayu ukuran untuk sewenang- wenangnya menuduh ADUN KEADILAN memihak kepadaUMNO. 

5 ADUN Keadilan yang mempunyai pandangan berbeza dan menyatakan pendirian untuk berkecuali sewaktu undian dijalankan perlu dihormati. Mereka juga bukan semata - mata perlu menjadi boneka DAP walaupun ADUN Keadilan adalah sebahagian daripada organisasi Kerajaan Negeri Pulau Pinang. 

Ketua Menteri yang juga Setiausaha Agung DAP sepatutnya lebih memandang serious terhadap ADUN Tanjung Bungah dari Parti DAP yang terang - terangan menyokong usul tersebut sewaktu undian dijalankan dan memihak kepada UMNO yang menjadi pembangkang di dalam DUN Pulau Pinang sebelum membuat tuduhan melulu dengan melabel ADUN Keadilan memihak kepada UMNO. 

Oleh yang demikian, Angkatan Muda Keadilan Pulau Pinang mendesak Ketua Menteri Pulau Pinang iaitu YAB Lim Guan Eng menarik balik tuduhan yang dilemparkan serta memohon maaf atas ketelanjuran beliau membuat tuduhan melulu terhadap 5 ADUN Keadilan secara terbuka.

Sekian,

Angkatan Muda Keadilan (AMK)
Pulau Pinang
22 Nov 15

Saturday 21 November 2015

Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng berkata PKR mesti "menilai dengan teliti" keputusan lima Adun parti itu yang berkecuali dalam proses pengundian dalam usul dikemukakan pembangkang di DUN malam semalam.

Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng berkata PKR mesti "menilai dengan teliti" keputusan lima Adun parti itu yang berkecuali dalam proses pengundian dalam usul dikemukakan pembangkang di DUN malam semalam.

Berdasarkan pendirian itu, kata Lim, persepsi kini ialah wakil rakyat PKR itu "bersama Umno".

Bagaimanapun, kata Lim, pihaknya akan membiarkan PKR sendiri menguruskan isu berkenaan.

Ditanya sama ada beliau akan bercakap dengan Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mengenai perkara itu, Lim menjelaskan: "Saya akan jelaskan kepada beliau (Dr Wan Azizah)".

Lim bercakap kepada media dalam sidang akhbarnya di George Town hari ini.

Semalam DUN Pulau Pinang membincangkan usul kontroversi dikemukakan Adun Muhammad Farid Saad (BN - Pulau Betong) mengenai isu tebus guna tanah seluas lebih 2,600 hektar berhampiran muara Sungai Pinang.

Menurut pembangkang, pembangunan di kawasan itu akan menyebabkan hidupan laut terancam kerana habitatnya terhapus, selain menjejaskan kehidupan kira-kira 500 nelayan di kawasan berkenaan.

Selepas dibahaskan, usul itu diundi dan akhirnya ditolak apabila ia hanya mendapat lapan undi sokongan, manakala 22 lagi menolak.

Lima Adun PKR pula bersikap berkecuali.

Pengundian juga menjadi perhatian apabila salah seorang Adun DAP, Teh Yee Cheu (Tanjung Bungah) yang dikenali sebagai aktivis alam sekitar turut mengundi menyokong usul berkenaan.

Dua lagi Adun PKR, Law Choo Kiang (Bukit Tambun) dan Maktar Shapee (Sungai Bakap) tidak boleh mengundi kerana masing-masing menjadi speaker dan timbalan speaker.

Friday 20 November 2015

Parti Amanah Negara (AMANAH) hari secara terbuka mengalu-alukan penyertaan bekas orang kanan Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Parti Amanah Negara (AMANAH) hari secara terbuka mengalu-alukan penyertaan bekas orang kanan Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, Datuk Husam Musa menyertai parti itu.

Setiausaha Agung AMANAH, Mohd Anuar Tahir berkata, jika Husam - yang kini dilihat semakin berani bersuara mengkritik sesetengah pemimpin PAS - mengambil keputusan untuk meninggalkan PAS, pihaknya pasti menerima dengan tangan terbuka.

Malah, kata Mohd Anuar, Husam boleh dianggap sebagai aset dalam politik dan boleh memberi sumbangan kepada mana-mana parti yang disertainya.

"Husam aset terbesar kepada mana-mana parti dan kami di AMANAH berdoa beliau menyertai kami. AMANAH sedia menerima," katanya di sidang media di Kuala Lumpur hari ini.

Mohd Anuar membayangkan kesediaan mereka menerima Husam itu seperti "kecil kereta Kancil, lori besar" mereka sanggup sediakan.

Husam pernah berkhidmat sebagai exco kanan di Kelantan ketika negeri itu ditadbir Nik Abdul Aziz.

Bagaimanapun bintangnya menjadi muram selepas jawatan menteri besar bertukar tangan.

Husam kini berkhidmat sebeagai ADUN Salor dan pernah terpilih sebagai salah seorang Naib Presiden PAS sebelum dia bersama kumpulan sederhana dalam parti itu disingkirkan beramai-ramai Jun lalu.

Sebelum ini Ketua Dewan Ulama PAS Datuk Dr Mahfodz Mohamed menyarankan Husam meninggalkan parti itu ekoran kelantangannya mengkritik Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Thursday 19 November 2015

Adakah beliau sanggup bersekongkol dengan kumpulan yang telah mencemarkan kedaulatan negara?

Umum mengetahui Selatan Filipina dan kepualauan sekitarnya merupakan markas pengganas dan militan yang mengancam Filipina dan rantau Asia Tenggara secara amnya. Kumpulan-kumpulan pemisah seperti MNLF, Abu Sayyaf mahupun Sulu sentiasa menimbulkan pelbagai masalah kepada kerajaan Filipiina mahupun pihak berkuasa serantau dalam usaha menyekat keganasan yang mereka lakukan.

Semua puak pengganas dan pemisah ini menjadikan aktiviti melanun kapal dagang dan penculikan sebagai sumber pendapatan kumpulan berkenaan. Malah, ada yang mengambil upah sebagai tentera upahan bagi meneruskan kesinambungan kehidupan anggota kumpulan pemisah dan pengganas ini.

Kematian warga Sarawak, Bernard Then Ted Fen yang dipenggal kepalanya oleh penculik Abu Sayyaf disatu lokasi terpencil di Selatan Filipina menjadi contoh paling jelas, kumpulan ini sanggup bertindak ganas keatas mangsanya. Mediang Bernard merupakan salah seorang daripada mangsa culik kumpulan pengganas berkenaan di sebuah restoran makanan laut di Sabah, kira-kira 6 bulan yang lalu.

Mungkin ada yang menyangka, kumpulan Abu Sayyaf, MNLF dan Sulu tiada kaitan antara satu sama lain. Sebenarnya tanggapan ini silap sama sekali. Jika diselusuri penglibatan MNLF yang pernah dipimpin oleh Nur Misuari di Mindanao, Kumpulan Abu Sayyaf adalah satu kumpulan serpihan MNLF yang tidak bersetuju dengan cara MNLF akur kepada rundingan damai yang dianjurkan oleh Datuk Seri Mohd Najib satu ketika dahulu.

Kumpulan ini merancang untuk menjadikan Mindanao, kepulauan yang berhampiran dan Sabah sebagai sebuah negara Daulah Islamiah dan merdeka sepenuhnya daripada Filipina. Mereka enggan tunduk kepada pentadbiran Manila dengan alasan, pentadbiran Manila telah memeras rakyat Selatan yang majoritinya beragama Islam sejak sekian lama. Tambahan pula mereka enggan tunduk dengan pentadbiran Kristian.

Oleh kerana itu, kumpulan ini melakukan tindakan gerila keatas pasukan keselamatan Filipina dan mereka mempunyai hubungan yang baik dengan Nur Misuari walaupun tindakan beliau tidak disenangi oleh Abu Sayaaf.

Bagi Sulu pula, mereka masih menuntut pemerintahan beraja seperti yang pernah diamalkan satu ketika dahulu. Di Sulu sahaja, terdapat 42 orang mengaku mereka adalah keturunan di Raja Sulu dimana kini hanya tinggal 4 orang sahaja yang secara kosisten mengakui mereka adalah Raja di Sulu. Namun begitu, Manila hanya mengiktiraf Jamalul Kiram sahaja selaku ketua dan ini dibuktikan dengan perlantikan Jocelyn Kiram III selaku Gabenor di kepulauan Sulu.

Sulu, sama seperti apa yang berlaku di Mindanao, mempunyai pasukan tentera mereka sendiri dimana pasukan ini hanya taat kepada Jamalul Kiram III sahaja. Sewaktu pemberontakan berdarah selatan Filipina oleh MNLF, Nur Misuari pernah memohon bantuan ketenteraan daripada Jamalul Kiram III dalam usaha mereka mengundurkan tentera Filipina.

Bantuan ini disahut oleh Jamalul Kiram dimana beliau menghantar kira-kira 1,000 tenteranya ke Selatan Filipina bagi membantu Nur Misuari. Namun setelah Nur Misuari disingkirkan dan kewujudan Abu Sayyaf, Sulu tidak lagi terbabit secara aktif dalam sebarang aktiviti ketenteraan di Selatan Filipina.

Namun begitu, sebagai orang yang menguasai Sulu dan kepulauan sekitarnya termasuk Pulau Tawi-Tawi, beliau pastinya megetahui aktiviti Abu Sayyaf dalam aktiviti melanun di kawasan sekitarnya. Malah Pulau Tawi-Tawi juga dijadikan pusat perlindungan bagi tenteranya dan militan Abu Sayyaf dari sebarang ancaman samada pasukan keselamatan mahupun cuaca.

Jadi tidak menghairankan apabila kejadian penculikan yang berlaku di Sabah turut melibatkan kepulauan yang dikuasai oleh Sulu tetapi turut digunakan oleh Militan Abu Sayyaf sebagai pusat perlindungan mereka sebelum meneruskan perjalanan ke Mindanao, markas terbesar Abu Sayyaf.

Hal ini tidak pernah diperakui oleh Jamalul Kiram III semasa beliau masih hidup. Namun, hubungan rapat antara beliau dengan para pemimpin Abu Sayyaf bukan lagi perkara rahsia. Malah terdapat beberapa laporan yang menyebut, sewaktu usaha menakluk Sabah dilakukan, tentera Sulu turut mendapat bantuan daripada Abu Sayyaf dan MNLF samada dari segi logistik mahupun persenjataan.

Jadi, oleh kerana itu, tindakan penyebaran gambar Nurul Izzah dan Jocelyn Kiram III di satu lokasi yang Nurul Izzah sendiri rahsiakan dilihat sebagai langsung tidak menghormati kematian Bernard Then. Walau apa pun alasan Nurul Izzah, beliau seharusnya tidak mempunyai sebarang hubungan samada diplomatik mahupun politik dengan keluarga pembunuh 9 orang anggota VAT69 negara, 11 orang Penduduk Kampung Tanduo dan pembunuh Bernard Then.

Mana mungkin beliau tidak menyedari penglibatan Sulu, Abu Sayyaf dan MNLF di Selatan Filipina terhadap pembunuhan lebih 100 ribu orang sepanjang konflik berpanjangan dengan kerajaan Filipina. Adakah beliau terlupa bahawa pada 8 Mac 2013, pasukan tentera Sulu, Abu Sayyaf dan MNLF melanggar Sabah dan membunuh beberapa orang rakyat Malaysia? Adakah beliau sanggup bersekongkol dengan kumpulan yang telah mencemarkan kedaulatan negara?

Andai inilah pendirian Nurul Izzah Binti Anwar, adalah tidak mustahil andai ada kumpulan militan seperti IS mahupun negara yang ingin menakluk Malaysia, beliau akan tampil membantu mereka bagi menakluk Malaysia tanpa sedikitpun rasa bersalah.

Paling mengecewakan, sehingga artikel ini ditulis, Nurul Izzah enggan meminta maaf kepada waris dan balu mangsa tragedi Lahad Datu dan memohon maaf diatas kekhilafannya. Adakah ini akhlak calon Ahli Parlimen yang diagungkan oleh penyokong Pakatan Harapan?

Wednesday 18 November 2015

DAP tidak berbohong kepada rakyat kononnya 300 JKKK dalam kalangan ahli dan pemimpin PAS telah dipecat sepanjang Oktober lalu.

Kerajaan Pakatan Harapan Pulau Pinang menipu orang ramai apabila mendakwa seramai 300 ahli PAS yang memegang Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Komuniti (JKKK) negeri itu telah dipecat sepanjang bulan lalu. 

Ketua Penerangan Badan Perhubungan PAS Pulau Pinang (BPPPP), Mohd. Yusni Mat Piah sebaliknya berkata, ahli PAS terbabit tidak dipecat tetapi mereka yang meletakkan jawatan masing-masing. 

Menurutnya, peletakan jawatan itu kerana PAS tidak lagi bekerjasama dengan parti DAP yang kini membentuk Pakatan Harapan dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Parti Amanah Negara (PAN). 

Justeru, beliau menggesa Kerajaan Pakatan Harapan Pulau Pinang yang dikuasai DAP tidak berbohong kepada rakyat kononnya 300 JKKK dalam kalangan ahli dan pemimpin PAS telah dipecat sepanjang Oktober lalu. 

“Jika tidak diserahkan surat pemecatan, kenapa sanggup berbohong bahawa semua 300 JKKK itu telah dipecat? Malah, pihak kerajaan negeri ‘segan silu’ menafikan tindakan meletak jawatan oleh JKKK daripada kalangan ahli dan pemimpin PAS. 

“Kenapa hanya 300 JKKK sahaja dimaklumkan sebagai dipecat, sedangkan rekod sebenar menunjukkan 1,083 ahli PAS Negeri yang berkhidmat dan terlibat dengan JKKK. Kenapa 783 orang lagi dibiarkan?? Adakah disembunyikan kuota PKR dan DAP?” katanya dalam satu kenyataan media hari ini. 

Ketua Menteri yang juga Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng sebelum ini memaklumkan ahli PAS terbabit tidak boleh mendakwa mereka yang meletakkan jawatan daripada kerajaan negeri kerana mereka telah pun dipecat sebelum ini. 

Kenyataan Guan Eng itu dipercayai bagi menjaga reputasi pimpinan kerajaan DAP dalam kalangan masyarakat terutama kaum Melayu di negeri itu. 

Mohd. Yusni menjelaskan, BPPPP telah mengambil keputusan lebih awal untuk tidak lagi bersama-sama di dalam pentadbiran kerajaan DAP Pulau Pinang di semua peringkat selepas Pulau Pinang kini dikuasai Pakatan Harapan yang menggantikan Pakatan Rakyat. 

Justeru, tegasnya, kenyataan kerajaan DAP Pulau Pinang bahawa 300 JKKK PAS dipecat dan digantikan dengan pemimpin PAN langsung tidak memberi kesan dan tida relevan kepada PAS Pulau Pinang. 

Beliau turut memberi peringatan kepada Pakatan Harapan bahawa PAS Pulau Pinang tidak akan lumpuh walaupun kerajaan negeri itu melakukan kezaliman keatas ahli-ahli PAS di Pulau Pinang.

Tuesday 17 November 2015

"Saya tidak berniat memalukan presiden saya, tetapi hanya ingin menonjolkan satu fakta sepanjang perundingan belakang tabir antara PAS - Umno sejak Tok Guru (Nik Aziz) masih hidup lagi.

Husam Musa yakin kebenaran memihak kepadanya selepas Abdul Hadi Awang mencabar beliau melafazkan sumpah talak untuk membuktikan dakwaannya.

Husam mendakwa Hadi mahu bekerjasama dengan Umno untuk membentuk kerajaan perpaduan di Selangor sewaktu krisis menteri besar tahun lalu dan bersedia menceraikan isterinya jika dakwaan beliau benar.

Dalam kenyataannya hari ini, bekas exco kanan kerajaan Kelantan itu memberikan anologi perlawanan gusti yang memerlukan dua pihak yang terlibat.

"Cabaran agar saya bersumpah 'solo', saya kira adalah petanda kejayaan saya.

"Kalau gusti sebagai analogi, jika lawan sudah meminta pesaingnya bergusti seorang diri, fahamlah penonton apa konsekuennya," katanya.

Husam berkata adalah mustahil boleh ditentukan siapa pemenang hanya dengan menumbuk bayang seorang diri, sedangkan regunya hanya menonton di luar tali.

"Saya tidak berniat memalukan presiden saya, tetapi hanya ingin menonjolkan satu fakta sepanjang perundingan belakang tabir antara PAS - Umno sejak Tok Guru (Nik Aziz) masih hidup lagi.

"Jemputan untuk saya masuk gelanggang gusti se orang diri tanpa regu sudah cukup untuk menjadi penutup isu ini dengan kebenaran memihak pada saya.

"2014 - Presiden PAS ada mencadangkan kerajaan Pas-Umno dibentuk di Selangor dengan tiga Adun PKR menyertai PAS. Noktah," kata Husam lagi.

Pada Ahad, Hadi menafikan wujud rancangan membentuk kerjasama tersebut sewaktu krisis menteri besar Selangor berlaku.

Beliau juga mencabar Husam yang bersedia menceraikan isterinya berbuat demikian jika dakwaannya itu tidak benar.

Sementara itu, bekas naib presiden PAS itu turut mengulas kenyataan Mursyidul Am PAS Datuk Haron Din yang dipetik Utusan Malaysia berkata PAS sedia bekerjasama dengan semua pihak termasuk BN demi mengukuhkan Islam.

Husam yang juga yang dipertua PAS Kubang Kerian berkata kenyataan tokoh ulama itu menunjukkan rundingan kerjasama antara PAS-Umno "memang wujud".

"Sebagai ahli PAS, saya lebih menghargai ketelusan sebegini.

"Ia lebih mulia dari usaha belakang tabir yang boleh menimbulkan kekeliruan ahli parti," katanya.

Menurutnya lagi, ketiadaan info kepada setengah ahli berhubung perkara itu menimbulkan perbalahan yang berlarutan," katanya.

"Apa yang diperlukan Pas kini ialah ketelusan," tegas Husam.

PKR menerima keputusan undi bajet 2016 di Dewan Rakyat semalam yang membuktikan bahawa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak masih mendapat kepercayaan sebagai proses demokrasi.

PKR menerima keputusan undi bajet 2016 di Dewan Rakyat semalam yang membuktikan bahawa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak masih mendapat kepercayaan sebagai proses demokrasi.

Presidennya Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail berkata pembangkang sudah menjangkakan keputusan itu tetapi tindakan menolak bajet oleh pembangkang adalah bagi menyatakan pendirian tidak bersetuju dengan bajet yang dibentangkan oleh Najib bulan lalu.

"Memang itu sudah dijangkakan tapi RM2.6 bilion itu masih belum dijawab dan mungkin ada mempengaruhi keputusan.

"Tapi tidak apa, ia proses demokrasi. Kita katakan apa yang kita lafazkan bahawa kita tidak bersetuju dengan belanjawan kali ini, tapi sudah majoriti menang jadi kita terima," katanya kepada pemberita di luar Kedutaan Perancis hari ini.

Semalam, pembangkang mengundi menolak Bajet 2016 dengan harapan ada ahli parlimen BN yang juga tidak menaruh keyakinan terhadap Najib, khususnya berhubung ‘derma’ RM2.6 bilion yang disalurkan ke akaun bank peribadi perdana menteri akan berbuat demikian.

Namun, harapan pembangkang meleset.

Bacaan pertama bajet itu, semalam diluluskan dengan 128 undi menyokong manakala 74 lagi menentang.

Undian peringkat dasar bajet itu dibuat melalui undi blok, selepas undi suara memihak untuk meluluskan bajet ke peringkat jawatankuasa.

Difahamkan bahawa semua ahli parlimen PKR dan AMANAH mengundi menentang bajet, semalam.

Hanya dua ahli parlimen DAP yang tidak mengundi. Mereka adalah Lim Kit Siang (Gelang Patah), yang digantung daripada menghadiri sidang Parlimen selama enam bulan, dan Tan Seng Giaw (Kepong) yang dilaporkan uzur.

Tiga ahli parlimen PAS bagaimanapun tidak mengikut arahan parti dan mengundi menolak Bajet 2016 walaupun PAS memutuskan bahawa wakil rakyatnya akan berkecuali.

Mereka yang menolak bajet itu adalah Datuk Mahfuz Omar (Pokok Sena), Nik Mazian Nik Mohamad (Pasir Puteh) dan Ahmad Baihaki Atiqullah (Kubang Kerian).

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang (Marang) tidak hadir untuk sema pengundian bersama-sama dengan tiga ahli parlimen PAS lain.

Tujuh wakil rakyat PAS yang lain berkecuali.

Semua ahli parlimen BN dan Bebas yang hadir mengundi menyokong bajet itu. Ini termasuk bekas Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim (Bebas-Bandar Tun Razak).

Monday 16 November 2015

Mursyi­dul Am Pas, Datuk Dr. Haron Din berkata, sebagai sebuah parti yang mendokong Islam, parti itu tidak boleh menolak apa sahaja perkara yang boleh mencapai dan memerlukan kepada pertolongan kerana ia merupakan suruhan Allah.

Menegaskan perkara itu, Mursyi­dul Am Pas, Datuk Dr. Haron Din berkata, sebagai sebuah parti yang mendokong Islam, parti itu tidak boleh menolak apa sahaja perkara yang boleh mencapai dan memerlukan kepada pertolongan kerana ia merupakan suruhan Allah.

Walau bagaimanapun, jelas beliau, kerjasama secara khusus antara kedua-dua pihak masih belum dimuktamadkan dan pihaknya tidak menolak kemungkinan kebersamaan itu boleh berlaku bergantung kepada keadaan dan masa yang menentukannya.

“Adapun (kerjasama) secara khusus, sejauh mana kerjasama yang dikatakan itu berlaku atau akan berlaku, bergantunglah de­ngan perkembangan, namun buat sementara ini, sampai hari ini kita tidak membuat sebarang keputusan muktamad.

“Sejauh mana dan bagaimana untuk dilakukan kerjasama itu, mungkin keadaan menentukannya. Kedua-dua (parti) sememang­nya mungkin bekerjasama atau mungkin tidak bekerjasama, bergantunglah kepada sejauh mana kebajikan atau kebaikan yang boleh diterima demi mencapai ketakwaan kepada Allah,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang semalam berkata, Pas sedia bekerjasama dengan semua pihak termasuk Barisan Nasional (BN) selagi tindakan itu menguntungkan parti tersebut dan demi me­negakkan Islam.

Menurut beliau, Pas bukannya sebuah parti yang jumud dan disebabkan itu mereka akan be­kerjasama dengan semua pihak demi mempertahankan negara tidak kira kerajaan atau pembangkang.

Dalam pada itu, Haron turut mengingatkan semua ahli Pas termasuk mereka yang bukan lagi menjadi ahli Pas dan menyertai Parti Amanah Negara (Amanah) agar tidak menyerang sesiapa sehingga melemparkan tuduhan dan fitnah.

Tokoh ulama berpengaruh itu berkata, walaupun episod kebersamaan antara mereka yang meninggalkan parti itu sudah tertutup, namun ia tidak bermaksud untuk mewujudkan permusuhan sebaliknya mengekalkan persahabatan.

“Saya menyeru ahli Pas jangan menyerang sesiapa, sama juga saya menyeru kepada bukan Pas supaya tidak menyerang Pas. Kenalilah siapa musuh kita yang sebenar dan kenalilah kawan berdasarkan hadis nabi Muhammad SAW yang bermaksud: “Berpada-padalah menya­yangi kawan kamu, mungkin satu hari dia akan menjadi musuh kamu dan berpada-padalah membenci musuh kamu kerana mungkin satu hari dia berubah menjadi kekasih kamu.”

“Dalam bermusuhan, menye­rang dengan kata-kata yang tidak sepatutnya bukan dari akhlak Islam tetapi menasihati apa sahaja yang boleh membawa kepada kebaikan adalah dari ajaran Islam. Jauhilah fitnah kerana akibatnya kamu tidak dapat menanggung balasannya,” katanya.

Mengulas mengenai konsensus pakatan pembangkang yang dilanggari DAP berhubung pelaksanaan hukum hudud di Kelantan, beliau berkata, perkara tersebut tidak re­levan lagi untuk dibangkitkan kerana pada masa ini hubungan Pas dan DAP sudah terputus.

Kata beliau, sememangnya isu tersebut menjadi punca utama keretakan hubungan antara kedua-dua parti itu disebabkan pencabulan DAP terhadap keputusan yang telah dibuat bersama dalam pakatan pembangkang.

Sunday 15 November 2015

DAP perlu terus berada dalam kerajaan Selangor untuk memastikan PAS “tidak buat jahat” di negeri itu, kata Setiausaha Agung Lim Guan Eng.

KUALA LUMPUR – DAP perlu terus berada dalam kerajaan Selangor untuk memastikan PAS “tidak buat jahat” di negeri itu, kata Setiausaha Agung Lim Guan Eng.

Ketua menteri Pulau Pinang itu berkata DAP perlu berada dalam kerajaan negeri itu bagi menghalang PAS melaksanakan “dasar yang tidak baik” kepada rakyat negeri itu.

“Lihat Kelantan hutan simpan kekal pun buat pembalakan, Husam (adalah) ADUN PAS Kelantan yang kata (mengenai) skandal ini.

“Kalau dia (PAS) boleh buat dekat Kelantan, dia boleh buat juga di Selangor.

“Kita nak tahan PAS daripada buat jahat, macam dia buat jahat di Kelantan,” katanya ketika berucap di Kongres Kebangsaan Wanita DAP 2015 hari ini.

Beliau mengulas pandangan seorang perwakilan Selangor yang mahu DAP meninggalkan kerajaan negeri jika Menteri Besar Azmin Ali enggan memecat PAS.

Undi PAS, undi Umno

Dalam ucapannya itu, Lim juga mendakwa PAS kini telah berpihak kepada Umno dan menganggap undi kepada pati Islam itu sama seperti mengundi Umno.

Beliau turut berkata, PAS sekarang sudah berubah daripada dahulunya menolak parti rasis seperti NGO PERKASA kepada sekarang yang bekerjasama dengan pengerusinya Datuk Ibrahim Ali.

“PAS sekarang sudah memihak kepada Umno, kita lihat kenyataan daripada pemimpin PAS, macam undi PAS serupa undi Umno.

“Satu undi PAS sama dengan satu undi Umno, tak ada beza langsung.

“(Mereka) sokong sama (Perdana Menteri) Najib dalam skandal 1MDB ataupun dalam skandal derma,” kata Lim.

Pengerusi DAP Selangor, Tony Pua menyeru ahli-ahli PAS keluar daripada parti itu dan menyertai Parti Amanah Negara.

Pengerusi DAP Selangor, Tony Pua menyeru ahli-ahli PAS keluar daripada parti itu dan menyertai Parti Amanah Negara.

Ini kerana Pua yang juga Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP mendakwa PAS kini telah sesat dalam perjuangan partinya.

“Masanya dah tiba untuk ahli-ahli PAS untuk meninggalkan parti yang telah sesat dalam perjuangannya dan masuk Amanah bersama Pakatan Harapan.

“Suka tak suka, Pakatan Harapan merupakan gabungan politik yang paling bersatu-padu dan berpeluang menumbangkan BN pada pilihanraya yang akan datang,”katanya dalam Facebook semalam.

Pua berkata demikian sebagai mengulas artikel The Malaysia Indiser bertajuk “Where do you stand, question mark over conflicting statements from PAS.”

Kenyataan Pua itu disokong oleh Facebook Parti Amanah Negara yang menulis “Sudah sampai masanya…”

Facebook Amanah Negara – Negeri Sembilan pula cuba menggambarkan parti Amanah adalah sebuah parti Islam baharu yang bakal menggantikan PAS

loke“Mari kita beramai-amai! Dengar amanat Presiden Parti Islam Ganti PAS, insha Allah bersama rakan seperjuangan DAP dan PKR !,”katanya.

Presiden parti Islam yang dimaksudkan itu adalah Presiden Amanah Mohamad Sabu yang akan berceramah bersama Ahli Parlimen DAP Seremban, Anthony Loke pada 15 November (Ahad), jam 9 malam di perkarangan pejabat Ahli parlimen Seremban, Taman Ampangan.

Pada Khamis, Mohamad Sabu yang lebih dikenali Mat Sabu mendakwa beliau bertanggungjawab di sebalik kejayaan yang dikecapi PAS kerana turut terlibat dalam membina parti itu sejak 37 tahun yang lalu.

“Kita tak tumpang PAS, kejayaan PAS selama ini kejayaan bersama.

“Saya baru tinggalkan PAS empat bulan, jadi selama ini 37 tahun saya telah bina PAS, kejayaan PAS selama ini kami yang buat,” katanya seperti dilapor Sinar Harian.

Thursday 12 November 2015

PAS Bukan Lagi Parti “Remote Control” Pakatan Harapan.

Pendirian terbaru PAS ini nyata tidak disenangi oleh semua parti yang membentuk Pakatan Harapan. Seolah-olah iri hati dengan PAS, mereka tidak pernah berhenti menyerang PAS sejak tindakan PAS menolak sebarang kerjasama dengan DAP tidak kira di peringkat mana sekalipun.

Ini menjadikan DAP, kuasa dominan didalam Pakatan Harapan bertindak sedaya upaya mahu menjatuhkan PAS melalui parti “orang suruhannya”, Parti Amanah Negara (PAN). Pelbagai cara dilakukan untuk menyingkirkan PAS daripada kerajaan yang dibentuk oleh Pakatan Harapan termasuk usaha mahu membubarkan DUN Selangor hanya semata-mata mahu menyingkirkan PAS.

Terbaru, para pendokong idealogi Pakatan Harapan menempelak PAS yang dilihat enggan memberi sokongan terhadap usul menolak Bajet 2016 yang telah diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak di Parlimen baru-baru ini.

Mereka mendakwa, PAS tidak lagi mempunyai deria pembangkang apabila dikhabarkan, semua Ahli Parlimen PAS bertindak samada menyokong atau berkecuali dalam hal ini. Malah Datuk Seri Abdul Hadi Awang juga tidak terlepas daripada dicerca berikutan beliau pernah mengeluarkan satu amanat yang dianggap kontoversi namun hari ini lebih cenderong kepada kerajaan dalam hal ehwal rakyat.

Mengulas tentang perkara ini, Datuk Seri Abdul Hadi menyatakan bahawa PAS mempunyai pendirian mereka yang tersendiri dimana hak rakyat harus sentiasa dibela dan diberi keutamaan berbanding hal lain. Beliau juga menambah, tidak semua perkara yang dibuat oleh kerajaan itu salah, cuma apa yang diperlukan adalah penambah baikan rancangan berkenaan supaya semua pihak tidak terlepas dari merasai nikmatnya.

Malah beliau berkata, PAS bersedia untuk menjadi penasihat kepada kerajaan berhubung hal ini. Jadi dimanakah kesalahan yang dilakukan oleh Datuk Seri Abdul Hadi sehingga beliau dicerca? PAS hari ini bukan seperti PAS yang dahulu dimana semua hal ehwal berkaitan politik sentiasa dicatur oleh rakan pakatan yang lain sehingga menghilangkan identiti PAS itu sendiri.

PAS hari ini nyata mempunyai pendirian yang kukuh, berlainan dengan apa yang ada pada PAN hari ini. PAS lebih mengutamakan kebajikan rakyat dan para pengikutnya dan bukan lagi parti remote control seperti yang pernah dilakukan oleh semua pemimpin pembangkang terutamanya DAP.

Wednesday 11 November 2015

Kisah desakan DAP supaya Azmin Ali memecat tiga individu PAS didalam barisan Exco Kerajaan Negeri Selangor masih belum berakhir.

Kisah desakan DAP supaya Azmin Ali memecat tiga individu PAS didalam barisan Exco Kerajaan Negeri Selangor masih belum berakhir. 

Semuanya bermula ketika YB Tony Pua memuji kecemerlangan Adun DAP Selangor pada Konvensyen DAP Selangor minggu lepas, ia sekali gus memberi maksud tersirat bahawa kerajaan Selangor bukan sahaja dipengaruhi oleh suara-suara DAP, malah Menteri Besar Selangor itu sendiri bertindak dan menurut arahan DAP dalam setiap dasar dan program kerajaan negeri.

Ini dapat dilihat apabila Tony Pua menyandarkan kecemerlangan Adun-adun DAP Selangor terhadap banyak cadangan dan kritikan DAP yang diterima oleh pentadbiran kerajaan negeri.

Dalam banyak-banyak perkara yang dicadangkan, dikritik dan didesak oleh DAP, desakan agar Exco-exco PAS dipecat dilihat masih belum dilaksanakan oleh Menteri Besar Mohamad Azmin Ali.

Mangsa-mangsa DAP sebelum ini termasuklah Bekas Exco Hal Ehwal Agama Islam, Dato' Dr. Hassan Ali, Jenice Lee (bekas ADUN Teratai), para penduduk kampung Padang Lumat, Tanjung Sepat, Sepang (isu ladang babi RM100 juta) dan lain-lain.

Beranikah Azmin menyanggah DAP dan Presiden PKR yang mahukan satu Pakatan Harapan TANPA PAS di Selangor? Kini Azmin dalam keadaan dilema?

Undi Tak Percaya: Kit Siang Mula ‘Hasut’ Ahli Parlimen Sabah.

Lim Kit Siang yang di gantung dari Parlimen selama 6 bulan melancarkan satu gerakan menjatuhkan Perdana Menteri Dato Sri Hj Mohd Najib Tun Abdul Razak. Memilih Tenom, Sabah sebagai tempat bermula gerakan  Kit Siang berkata,  ianya di pilih berdasarkan sejarah 1985 di mana Harris Salleh ( mantan Ketua Menteri ) di gulingkan.

Dengan membawa isu 2.6 billion, Kit Siang berharap undi tidak percaya ke atas PM akan di bawa ke Parlimen pada 16 November ini. Dengan perkiraan bahawa ahli Parlimen dari Sabah dan Sarawak akan setuju dengan gerakan ini, Kit Siang berharap kedudukan Najib selaku Perdana Menteri akan berakhir.Beliau bagaimanapun tidak akan hadir pada hari tersebut kerana berdepan dengan hukuman gantung kerana keceluparannya.

Kit Siang juga tidak berani  menamakan siapakah ahli Parlimen dari Sabah dan Sarawak yang akan setuju dengan gerakan ini, bagaimanapun di lihat hanya bermain dengan persepsi sendiri. Beliau juga akan berkempen menghasut rakyat Sabah dan di jangka akan ke Keningau,Kudat,Kota Kinabalu,Tuaran dan Sandakan dengan berbekalkan isu  “Mana Rm2.6 billion”.

Dap juga hanya bermain persepsi jahat kerana mereka sendiri tidak mempunyai calon dan hanya mencabar siapa  dari Sabah atau Sarawak yang berkemampuan untuk di ketengahkan sebagai Perdana Menteri, selain dari menamakan Lim Kit Siang sendiri sebagai PM. Membandingkan Myanmar sebagai rujukan gerakan menjatuhkan Najib, Kit Siang di percayai akan menghasut rakyat Sabah dan Sarawak dengan isu pemisahan kuasa Malaysia.

Lim Kit Siang sememangnya tidak belajar dari sejarah penubuhan Malaysia dan penyertaan Sabah dan Sarawak sebagai sebahagian dari Malaysia. Apa yang beliau mahu hanyalah kuasa seperti mana P.Pinang yang di kuasai Dap. Rakyat Sabah dan Sarawak sebenarnya muak dengan hasutan dari Dap yang hanya mementingkan kuasa.Dengan merasakan pengaruh Dap yang semakin lemah di Borneo, maka Kit Siang mencuba untuk membawa isu yang di rasakan mampu untuk Dap ketengahkan.

Gerakan ini sebenarnya patut di pandang serius oleh pihak berkuasa kerana melibatkan Negara. Lim Kit Siang hanya mahu populariti serta mempengaruhi rakyat bahawa kerajaan Malaysia kejam terhadap beliau. Apa yang akan di lakukan beliau sebenarnya menjejaskan demokrasi yang telah lama di amalkan di Malaysia, serta mengimbau kembali peristiwa hitam negara satu ketika dulu.

Rakyat Sabah,Sarawak serta ahli Parlimen dari kedua dua negeri sebenarnya telah lama teguh bersama Barisan Nasional, dan Dap hadir di sana tidak lebih dari sekadar menumpang tanpa membantu memajukan negeri. Dengan pelbagai inisiatif dari Najib yang di bawa ke Sabah dan Sarawak, isu yang bakal di mainkan oleh Kit Siang hanyalah mainan kotor Dap. Malah Dap sendiri tidak menyumbang untuk kemajuan serta kemakmuran tanah Borneo itu.

Azmin ali akhirnya menggunakan helah yang sama digunakan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang juga mentor beliau.

Seperti sedia maklum, Menteri Besar Selangor, Azmin Ali kini sedang berhadapan dengan serangan daripada DAP yang mahu melihat PAS diusir keluar daripada kerajaan negeri Selangor. Pelbagai helah digunakan oleh DAP demi mahu mendapatkan apa yang mereka hajatkan. Ini ditambah pula dengan desakan keatas Azmin untuk mengiktiraf Pakatan Harapan di Selangor, juga hasil desakan DAP.

Pada satu tahap, DAP dilihat sanggup memperjudikan nasib mereka dengan ura-ura mahu mendesak Speaker DUN Selangor membubarkan dewan bagi membolehkan Pilihanraya Negeri diadakan. Malang bagi Azmin, beliau dilihat keseorangan dalam menghadapi tekanan yang cuba diwujudkan oleh Tony Pua yang juga Pengerusi DAP Selangor tanpa sebarang bantuan dihulurkan oleh Presiden PKR, Datin Seri Wan Azizah.

Setelah begitu teruk ditekan, beliau akhirnya menggunakan helah yang sama digunakan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang juga mentor beliau. Sejak akhir-akhir ini beliau menghangatkan suasana dengan mendakwa pihak polis ingin menahan anak beliau yang berusia 15 tahun hanya semata-mata menyertai himpunan BERSIH 4 pada penghujung bulan Ogos lalu.

Menerusi penelitian, pihak polis hanya ingin merakamkan perbualan dengan anak beliau bagi melengkapkan kertas siasatan terhadap BERSIH 4. Tiada arahan penangkapan dilakukan oleh pihak polis seperti didakwa Azmin.

Namun reaksi Azmin sebenarnya agak mengejutkan. Beliau mendakwa anaknya bakal ditahan pihak polis dan memuat naik gambar anaknya yang sedang belajar bersama-sama ibunya. Adakah beliau terlalu naif untuk membezakan penahanan dan mengambil kenyataan? Reaksi ini juga cuba dimainkan oleh Anwar disaat beliau berhadapan dengan hukuman penjara kira-kira 10 bulan lalu.

Apa yang pasti, Azmin begitu bimbang akan kemungkinan kehilangan jawatannya selaku Menteri Besar akibat tekanan yang diberikan Tony Pua terhadap beliau. Jesteru Azmin kini dilihat mengulangi taktik lama yang digunakan oleh Anwar bagi meraih simpati rakyat untuk kekal menyokongnya.

Tuesday 10 November 2015

Kenaikan tarif air tidak bebankan pengguna.

SHAH ALAM: Kerajaan Selangor tetap dengan keputusan menaikkan kadar tarif air selepas proses pengambil alihan Syarikat Pengeluar Air Selangor Sdn Bhd (SPLASH) oleh kerajaan negeri selesai.  

Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali, berkata keputusan itu wajar bagi memastikan pengurusan air lebih efektif termasuk mengatasi masalah gangguan air yang dihadapi pengguna.  

Bagaimanapun, beliau berkata, pihaknya akan memastikan kenaikan tarif air itu tidak akan membebankan pengguna dan rakyat di Selangor.  

"Kenaikan tarif ini akan bermula selepas pengambil alihan SPLASH dimuktamadkan.

Dalam usaha untuk mengurangkan sebanyak 35 peratus kadar air tidak terhasil (NRW) ketika ini, pastinya ia memerlukan kos besar bagi menangani perkara ini," katanya menjawab soalan tambahan Mat Nadzari Ahmad Dahlan (BN-Batang Kali) pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN), hari ini.

Mohamed Azmin berkata, kerajaan negeri turut melantik penilai luar bagi menentukan bayaran yang perlu dibayar kepada SPLASH.   Katanya, kerajaan negeri menawarkan RM250 juta kepada SPLASH, tetapi jumlah itu ditolak.   "Tempoh rundingan ini akan berakhir September 2016 dan kerajaan negeri akan pastikan ia selesai dalam tempoh ini.

Kos pengambil alihan keseluruhan tiga syarikat konsesi ini adalah sebanyak RM1.68 bilion iaitu Puncak Niaga Sdn Bhd sebanyak RM1 bilion, Syarikat Bekalan Air Selangor Berhad (SYABAS) RM530 juta dan Konsortium Abbas Sdn Bhd (ABBAS) RM90 juta," katanya.

Hasil kajian Ilham Center yang mendapati sebilangan besar ahli dan penyokong Pas di Kelantan mula memberi sokongan kepada Parti Amanah Negara (AMANAH)

KUALA LUMPUR: Hasil kajian Ilham Center yang mendapati sebilangan besar ahli dan penyokong Pas di Kelantan mula memberi sokongan kepada Parti Amanah Negara (AMANAH) ditolak Naib Presiden PAS, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah.

Mohd Amar sebaliknya berkata, kajian dilakukan Ilham Center berkemungkinan hanya dilakukan ke atas individu yang menyokong parti serpihan Pas itu.

Beliau pada masa sama percaya hanya segelintir ahli Pas beralih sokongan kepada Amanah dan ia berlaku diawal penubuhan parti berkenaan yang diterajui bekas Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu.

"Kita (Pas) juga mempunyai kajian dan maklumat tersendiri. Ahli PAS hanya menyokong Amanah di peringkat awal penubuhannya kerana mereka mungkin tidak jelas pada ketika itu dan apabila diberi penerangan, mereka memahami keadaan sebenar".

"Pas juga mempunyai kajian tersendiri dan yakin kebanyakan ahli masih menyokong," katanya.

Kajian Ilham Center juga menunjukkan kebanyakan ahli Pas yang beralih arah kepada Amanah terdiri daripada golongan muda, profesional serta bekas penyokong Berjasa dan Hamim.

Ia juga merumuskan lebih 15 peratus ahli Pas Kelantan menyertai Amanah sementara 35 peratus lagi masih bersama PAS hanya kerana ingin menjaga hubungan baik dengan kerajaan negeri.

Dalam perkembangan lain, Mohd Amar mengulas kenaikan elaun wakil rakyat dan Exco Kerajaan Negeri yang menyifatkannya sebagai langkah sesuai dengan kehendak semasa.

Adun Salor, Datuk Husam Musa sebelum ini pernah mempersoalkan kenaikan elaun itu yang akan berkuat kuasa Januari depan disebalik keadaan ekonomi semasa tidak menentu.

Persidangan DUN Kelantan telah meluluskan Enakmen Saraan Anggota-anggota Pentadbiran dan Anggota-anggota Dewan Negeri (Pindaan 2015) yang menyaksikan kenaikan elaun ADUN kepada RM8,000 berbanding RM4,600 sekarang.

Jawapan serangan blog Tun M.

Tun M : Laporan kerajaan mengumumkan negara tidak mengalami krisis ekonomi tetapi beliau mempersoalkan tindakan penahanan beberapa individu atas dakwaan cubaan mensabotaj sistem kewangan negara. Tambah beliau, jika kewangan negara masih stabil mengapa individu berkenaan ditangkap? Dan jika individu tersebut mensabotaj sistem perbankan dan kewangan negara, sudah tentu ianya akan lumpuh.

JAwapn : Tun M jelas sekali merujuk kepada penahanan penyokong setianya; Khairuddin Abu Hassan dan bekas setiusaha politiknya, Matthias Chang. Jika kebenaran yang mereka cuba buktikan, pada pendapat saya dengan menfailkan kes kepada pihak berkuasa Hong Kong dan Switzerland sudah mencukupi. Tidak perlu keliling satu dunia.  Bukankah itu bukti jelas mereka cuba merosakkan imej negara?

Kini, Khairuddin sendiri telah mengaku bahawa dia ada menyerahkan beberapa dokumen kepada kerajaan asing berkenaan.

1. Jika dokumen tersebut BENAR. Bagaimana dia mendapatkan dokumen sulit berkenaan?

2. Jika ianya PALSU. Adakah ia tidak menjadi kesalahan menyerahkan dokumen palsu kepada negara asing dengan niat memalukan Malaysia dan Perdana Menteri?

Berkenaan isu penahanan beberapa individu atas dakwaan mensabotaj sistem kewangan, Tun M mengatakan ianya mengelirukan kerana laporan oleh kerajaan menunjukkan ekonomi stabil. Apa rasional penahanan?

Jadi, pengganas ISIS yang ditahan kerana cubaan mengebom Kuala Lumpur juga perlu dibebaskan kerana tiada pengeboman berlaku?

Tun M : Sistem perbankan dan kewangan mungkin masih stabil tetapi ada beberapa petunjuk lain yang menjurus kepada krisis ekonomi dan nilai Ringgit merundum kepada MYR 4.3 berbanding  USD 1. Ini menjejaskan urusan import dan pinjaman dalam USD.

Jawapan : Tidak masuk akal mengkritik negara tatkala nilai Ringgit jatuh sehingga MYR 4.30 berbanding 1 USD sedangkan negara lain mengalami penyusutan nilai matawang yang lebih teruk. Kejatuhan matawang ini merupakan proses normal kepada negara yang bergantung kepada hasil komoditi. 

Adakah Perdana Menteri kita berkuasa untuk mengawal harga minyak dunia atau memulihkan momentum pertumbuhan China?

Jika betul Tun M begitu risau akan nilai Ringgit, mungkin Najib boleh mengikut cara beliau dengan menambat nilai Ringgit pada MYR 3.80.

Namun, tahniah kepada kerajaan kerana tidak mengambil jalan mudah dan bertindak untuk mengekalkan aliran tunai bebas yang ternyata lebih baik mengikut situasi pasaran semasa. Ini kerana tambatan Ringgit ternyata lebih membawa keburukan.

Isu import dan urusan pinjaman dalam USD membolehkan kita memilih untuk menggunakan barang buatan Malaysia dan mengurangkan aliran keluar kepada negara-negara asing. Tidak seperti zaman pemerintahan Tun M, 97% pinjaman kerajaan menggunakan Ringgit Malaysia dan negara juga tidak lagi terlibat dengan pinjaman asing.

Tun M: Pasaran saham menyusut dengan nilai yang besar dalam pasaran modal dan pertumbuhan ekonomi kita jauh ketinggalan dari Indonesia dan Filipina.

Jawapan : Hari ini, pasaran saham berada pada paras 1685.7 mata, dua kali ganda dari sewaktu Najib mula menjadi PM pada tahun 2009. Pasaran saham tidak menyusut sehingga 70% kepada 200 atau lebih mata seperti pada tahun 1998 namun, lagipun Perdana Menteri ketika itu tidak juga meletakkan jawatan.

Tun M telah sedia maklum bahawa pertumbuhan setiap negara bergantung kepada tahap pembangunan mereka. Indonesia dan Filipina yang asas pertumbuhan negaranya jauh lebih rendah berbanding Malaysia hanya dapat menikmati kestabilan setelah berdekad lamanya berusaha untuk meningkatkan pertumbuhan ekonomi negara mereka. 

Hal sama berlaku antara Malaysia dan Singapura pada zaman Tun M, di mana asas pertumbuhan ekonomi Singapura lebih matang namun kita menandingi mereka dari segi kadar pertumbuhan. Singapura pula hanya mencatatkan pertumbuhan KDNK sebanyak 0.1% pada suku terakhir berbanding Malaysia iaitu sebanyak 4.5% hingga 5%.

Tun M : Pelbagai kenaikan kos sara hidup yang mengurangkan kuasa pembeli dan skandal-skandal kerajaan berkaitan 1MDB, kehilangan wang, penyalahgunaan wang dana KWSP dan sebagai
nya. Pemimpin perlu bertanggungjawab atas semua ini seperti negara lain yang pemimpinnya sedia melepaskan jawatan dan bukan meletakkan kesalahan pada orang lain.

Jawapan : 

Pada tahun 1998 :

1. Ekonomi negara merundum dengan KDNK jatuh mengejut sebanyak 7.4%.

2. Sektor pembinaan menguncup sebanyak 23.5%, sektor pengeluaran sebanyak 9% dan pertanian menyusut sebanyak 5.9%.

3. Inflasi meningkat dua kali ganda dari 2.7% kepada 5.3%.

4. Ringgit merosot hampir 50% dari MYR 2.50 kepada MYR 4.84 berbanding 1 USD.

Tun M terpaksa mewujudkan Danaharta untuk membantu syarikat-syarikat yang hampir dan sudah muflis, menggunakan wang dari Petronas untuk menyelamatkan syarikat milik anak beliau sendiri sehingga mencetuskan konflik besar – yang tidak langsung Tun M cuba untuk pertahankan. Bank-bank juga tidak mampu untuk mengeluarkan pinjaman malah, turut berada di ambang kemuflisan.

Kerajaan hampir muflis serta menteri dan pegawai tinggi awam dikenakan potongan gaji, cubaan untuk membuat pinjaman kepada Singapura yang ditolak oleh mereka. Tun M juga melakukan tindakan memecat Timbalan Presiden dan juga Timbalan Perdana Menteri serta menahan Ketua Pemuda UMNO bersama berpuluh-puluh yang lain di bawah ISA.

Adakah Tun M meletak jawatan ketika itu? Sudah pasti tidak.

Tun M: Malaysia miskin. Tiada rasa tanggungjawab. Hanya mementingkan diri.

Jawapan : Semua skandal negara mempunyai jawatankuasa audit khas sendiri. PAC dan Pasukan Tugas Khas yang menjalankan soal siasatan terhadap semua pihak.

Masih ingat isu PKFZ?

Siapa yang menjawab “saya tidak ingat"?

Itu tahap tanggungjawab Tun M.

Diterjemah : JASA
Sumber : http://greatermalaysia.com/2015/11/10/stinging-rebuttal-mahathirs-latest-attack/

Mohamad, yang lebih dikenali sebagai Mat Sabu, berkata langkah itu diambil bagi "menyelamatkan" kerajaan Islam yang ditubuhkan Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Parti Amanah Negara (Amanah) bersedia menggantikan PAS mentadbir kerajaan Kelantan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang, kata presidennya Mohamad Sabu.

Mohamad, yang lebih dikenali sebagai Mat Sabu, berkata langkah itu diambil bagi "menyelamatkan" kerajaan Islam yang ditubuhkan Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

"Bagaimanapun, kita lihat dulu sokongan (yang diterima Amanah). Kalau sambutan dan sokongan itu begitu hebat, kita akan bincang pada waktu itu (untuk bertanding di Kelantan)," katanya kepada pemberita selepas mengadakan ceramah di Kampung Padang Embun di Pasir Mas, malam tadi.

Mat Sabu berkata pada masa ini, Amanah akan memberi fokus kepada penambahan anggota di seluruh negara dan belum membincangkan secara lanjut mengenai kerusi yang akan ditandingi parti itu dengan DAP dan PKR.

"Sekarang hal PRU14 kita tak bincang lagi di negeri atau tempat mana, melainkan (pilihan raya negeri) di Sarawak... kami akan cubalah untuk dapatkan kerusi bertanding di sana," katanya.

Monday 9 November 2015

Bekas Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamed disifatkan sebagai “pembunuh” karier tiga orang Perdana Menteri.

Bekas Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamed disifatkan sebagai “pembunuh” karier tiga orang Perdana Menteri. Beliau juga bertanggungjawab dalam menjatuhkan Tunku Abdul Rahman dan Tun Abdullah Ahmad Badawi, dan menyeru Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk berundur.

Ulasan awal ini adalah daripada petikan buku yang bertajuk “Malaysia Post-Mahathir : A Decade of Change” hasil tulisan Profesor James Chin dari Universiti Tasmania. Dalam buku yang dikeluarkan pada Isnin lalu, Chin berkata bahawa Tun M telah mengekalkan kuasa dalam politik Malaysia bagi memastikan “UMNO dan ketuanan Melayu kekal relevan”.

Ujar beliau lagi, perkara politik yang amat ditakuti Mahathir adalah pembaharuan yang akan menggalakkan hak kewarnegaraan yang sama rata. Bagi Tun M, mengekalkan sistem politik berasaskan kaum adalah kunci untuk mengekalkan UMNO berkuasa dan dalam jangka masa panjang, ia akan membenarkan pembentukan dinasti politik keluarga iaitu Dinasti Mahathir.

Chin juga berkata dalam buku yang disunting oleh beliau dan Prof Joern Dosch dari Universiti Rostock, Jerman, beliau mendakwa Tun M telah cuba untuk memastikan “bahawa dinasti politiknya” kekal utuh melalui anaknya yang juga Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

“Mahathir yang sudah berumur 90 tahun pada 2015, mahu mmelihat Mukhriz dilantik sebagai Naib Presiden UMNO pada 2014 untuk mendapatkan jawatan Perdana Menteri. Disebabkan cubaan itu gagal, menyingkirkan Najib adalah satu cara bagi memberi peluang untuk Mukhriz naik ke atas,” tulis Chin dalam bab “A Decade Later : The Lasting Shadow of Mahathir”.

Chin menambah, sebarang cubaan Malaysia untuk menuju ke arah ekonomi berasaskan merit akan mendapat tentangan daripada Tun M, sama seperti yang dialami oleh Najib dengan Model Ekonomi Baru (MEB). Beliau berkata MEB merupakan satu usaha untuk menukar tindakan afirmatif daripada berasaskan etnik kepada berasaskan keperluan.

Chin berkata peralihan ini akan menjadikan Malaysia lebih berdaya saing, serta lebih mesra pasaran dan pelabur. Beliau berkata ini adalah dorongan ke arah ekonomi berasaskan merit, bertentangan dengan apa yang diperjuangkan oleh Tun M memandangkan ia adalah satu usaha untuk peralihan daripada pendekatan perkauman yang digunakan di bawah Dasar Ekonomi Baru (DEB).

Chin berkata, Tun M dan kumpulan pejuang hak Melayu seperti Perkasa melihat ini sebagai serangan terbuka ke atas hak istimewa orang Melayu. Dalam masa yang sama, Tun M percaya bahawa tanpa DEB, terdapat kemungkinan rusuhan kaum seperti 13 Mei akan meletus kembali.

Menteri Besar Terengganu Ahmad Razif, PAS telah kesediaan untuk membuka pintunya untuk mula bekerjasama dengan UMNO dan PAS.

Parti Amanah Negara (AMANAH) membidas PAS yang didakwa cuba mengelirukan ahli akar umbi parti dengan presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang bersedia menjadi penasihat kepada kerajaan negeri Terengganu.

Mujahid persoalkan bagaimana Hadi Awang sanggup menjadi penasihat musuh sedangkan ahli parti sentiasa diberitahu bahawa PAS sebagai sebuah parti politik perlu memenangi kerusi bagi merebut Putrajaya.

Mujahid yang juga Ahli Parlimen Parit Buntar itu berkata demikian bagi mengulas kenyataan Menteri Besar Terengganu Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman pada 6 November lalu yang berkata beliau sedang mempertimbangkan untuk melantik Hadi sebagai penasihat kerajaan negeri BN.

Sebelum itu Hadi mengeluarkan kenyataa bahawa PAS bersedia untuk bekerjasama dengan Umno dalam isu-isu pentadbiran dan sedia menasihatkan Umno serta tidak menumbangkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Menurut Menteri Besar Terengganu Ahmad Razif, PAS telah menunjukkan kesediaan untuk membuka pintunya untuk mula bekerjasama dengan BN dan Umno.

Bagi Mujahid pendirian PAS yang terbaru ini membuktikan bahawa PAS sangat keliru dengan perjuangannya, tetapi ini diburukkan lagi dengan pihak yang cuba mengelirukan akar umbi pula.

Beliau turut mengecam mengapa PAS mahu menjadi sebuah parti politik tetapi kini mahu memainkan peranan sebagai penasihat kepada BN dan Umno.

Malah dengan sinis Mujahid menyarankan agar PAS menjadi sebuah NGO dan bukannya parti politik. 

"Jangan perbodohkan ahli dengan berkata PAS adalah sebuah parti politik tetapi pada keesokan harinya, berkata yang penting bukan kerusi tetapi PAS boleh berperanan sebagai penasihat," sindir Mujahid.

PAS Terengganu menerusi artikelnya yang gigih menghentam kepimpinan kerajaan negeri Terengganu melalui artikelnya yang berjudul, ‘Wahai Razif, Pemimpin Kerajaan UMNO Terengganu…Janganlah Tamak Haloba’ 

Sebuah artikel yang dikatakan sebagai mewakili lidah rasmi PAS Terengganu menerusi artikelnya yang gigih menghentam kepimpinan kerajaan negeri Terengganu melalui artikelnya yang berjudul, ‘Wahai Razif, Pemimpin Kerajaan UMNO Terengganu…Janganlah Tamak Haloba’ 

Dengan bermodalkan fakta tidak jelas, “pointless remark” dan emosi editor, penulisan yang seakan ‘meroyan’ ini mungkin kerana halatuju PAS itu kini semakin pudar, kelam dan tenggelam dek keghairahan Parti Amanah Negara menerobosi Terengganu yang kononnya gah sebagai kubu kuatnya. 

Lebih malang apabila tiada siapa lagi hendak dipersalahkan di atas punca perpecahan parti tersebut, dan talian hayat terakhirnya adalah dengan memburukkan kerajaan negeri Terengganu yang utuh di bawah kepimpinan UMNO. Dengan harapan sedikit sebanyak dapat menutup serta mengalihkan pandangan rakyat terhadap isu perpecahan besar-besaran yang sedang berlaku di dalam PAS pada ketika ini. 

Baca juga : Dasar Buka Pintu MB Razif Tidak Menyenangkan Parti Mat Sabu

Program ceramah sempena Perasmian Pejabat Amanah Marang oleh Parti Amanah Negara yang baru sahaja berlangsung semalam di Bukit Payung, Marang bukan lagi satu rahsia. Tamparan hebat inilah yang mungkin membuatkan PAS biol sebentar, terpinga-pinga dan tidak senang duduk lantaran ikrar PAN meruntuhkan kubu kuat PAS di Marang. 

Berbalik kepada serangan penuh emosi dari lidah rasmi PAS Terengganu, saya agak kecewa membaca ‘fakta’ serangan yang kononnya ingin menunjukkan kepincangan dan ketirisan yang berlaku dalam kerajaan negeri Terengganu di bawah pimpinan Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Razif Abd Rahman. 

Suka saya kelaskan serangan tersebut sebagai sekadar ‘sembang kedai kopi’ dan ‘lepas geram’. Pada mulanya saya fikir hanya saya beranggapan sebegitu. Rupanya lebih ramai mempunyai pendapat yang sama setelah membaca artikel serangan tersebut. 

Manakan tidak, satu demi satu perenggan yang diteliti memperlihatkan bayangan editor sedang menaip emosi penuh kebencian tanpa satu fakta yang jelas. Ada baiknya beliau mencarut sepuasnya sahaja dalam artikel tersebut… tidak ada beza. 

Editor portal gagal mempamerkan sentimen rakus yang mengaitkan keterampilan Razif sebagai seorang pemimpin yang kononnya tamak haloba. Dan siapakah beberapa ‘kerat’ pemimpin UMNO yang dikatakan mahu keuntungan segera itu? Boleh buktikan? Boleh senaraikan supaya rakyat tahu? Inilah yang saya maksudkan dengan ‘tiada kredibiliti’. Jika beliau (editor) telus dalam membongkar keterlibatan beberapa ‘kerat’ pemimpin UMNO yang mahu keuntungan segera ini, SENARAIKAN. 

Saya pasti bukan sahaja ahli PAS berminat hendak tahu, bahkan ahli UMNO dan seluruh rakyat juga pasti hendak tahu sejauh mana prinsip INTEGRITI yang dibawa oleh Menteri Besar Terengganu, Ahmad Razif Abd Rahman. 

Namun jika tiada apa-apa pembuktian yang mampu mengukuhkan tuduhan serta penulisan di dalam portal tersebut, dapat saya simpulkan apa yang saya perkatakan sejak mula yakni penulisan lidah rasmi PAS Terengganu TIADA KREDIBILITI adalah tepat. Malanglah bagi pembacanya. 

Dimanalah agaknya penulis portal tersebut mendapat angka yang mengatakan hutan seluas 6000 Hektar digondolkan untuk aktiviti melombong bijih di Bukit Besi? Sedangkan gambar yang dipaparkan di portal tersebut menunjukkan angka yang jauh lebih rendah iaitu seluas 476 Hektar. Meluaskan operasi melombong bijih besi ini pula kenyataan siapa? 

Isu berkenaan perlombongan bijih besi ini seringkali dijawab oleh pihak kerajaan negeri Terengganu. (rujuk link dibawah) 

Walaubagaimanapun, saya faham dengan jelas sikap editor portal yang tidak mempunyai kredibiliti. Lebih-lebih lagi penulisan di laman portal yang bertindak sebagai lidah rasmi sebuah parti yang berada di ambang kerapuhan. Apakah lidah rasmi PAS Terengganu tidak gentar berhadapan tindakan saman kerana putarbelit dan fakta yang salah? 

Lempar batu sembunyi tangan itu sikap pengecut. Tidak hairan jika selama ini PAS ditindas semasa berada bersama Pakatan Rakyat dan disepak tendang apabila munculnya Pakatan Harapan. Ciri-ciri tersebut memang terserlah.

Sunday 8 November 2015

Mukhriz mengulas mengenai viral yang dimuat naik oleh pemilik akaun Edisi Siasat yang menyebut 'Alhamdulillah YAB DS MM sedia berundur sebagai MB Kedah demi kelangsungan Umno'.

Mukhriz Mahathir hanya akan melepaskan jawatan menteri besar Kedah yang disandangnya sejak 2013 jika rakyat di negeri itu tidak lagi menyokong beliau pada pilihan raya umum akan datang.

Pengerusi Umno Kedah itu juga berkata bahawa beliau sedia berundur dan menyerahkannya kepada mana-mana pemimpin tempatan yang dirasakan lebih popular dan mampu menyakinkan rakyat, lapor Sinar Harian hari ini.

"Namun jika rakyat dirasakan masih bersama saya, mohon semua pihak memberi kerjasama dalam pentadbiran saya untuk memastikan kita tetap mentadbir negeri ini hingga selepas PRU14 nanti," katanya seperti dilapor akhbar itu.

Mukhriz mengulas mengenai viral yang dimuat naik oleh pemilik akaun Edisi Siasat yang menyebut 'Alhamdulillah YAB DS MM sedia berundur sebagai MB Kedah demi kelangsungan Umno'.

Perkara itu mula menjadi viral di laman Facebook selepas beliau menghadiri perjumpaan tertutup bersama pimpinan Umno Kedah dan Umno Pusat di Dewan Seri Mentaloon kelmarin.

Lapoaran itu juga menyebut beliau berkata saf kepimpinan perlu dirapatkan supaya apa sahaja yang dilakukan di peringkat negeri atau pusat mendapat sokongan semua pihak termasuk ADUN dan anggota parlimen.

Mukhriz sengaja sembunyikan tentang siapa lantik dia menjadi Menteri Besar dan siapa pilih dia menjadi wakil rakyat?

Saturday 7 November 2015

Bekas Ketua Pemuda PAS, Suhaizan Kaiat mendakwa fikirannya jadi berserabut jika mengenangkan perkara yang telah berlaku dalam parti PAS. 

Bekas Ketua Pemuda PAS, Suhaizan Kaiat mendakwa fikirannya jadi berserabut jika mengenangkan perkara yang telah berlaku dalam parti PAS. 

Katanya, beliau tidak mahu lagi mengambil peduli tentang PAS selepas menubuhkan Parti Amanah Negara (PAN) bersama-sama beberapa bekas pemimpin PAS lain. 

“Semenjak bersama Amanah ni, saya pun malas dah nak ambil tahu pasal parti lama saya tu. Mengenangkan kembali apa yang telah berlaku membuatkan kepala jadi serabut,” katanya menerusi laman Facebook beliau hari ini. 

Suhaizan dalam pada itu mendakwa pendedahan bekas naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa bahawa Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mahu membentuk kerajaan dengan Barisan Nasional (BN) adalah benar. 

Malah, dakwanya, pendedahan Husam itu cuma sedikit daripada banyak lagi kejutan yang mungkin akan Husam dedahkan mengenai PAS. 

Husam baru-baru ini mendakwa Hadi mempunyai niat membentuk kerajaan kerjasama dengan BN selain mendakwa anggota PAS pernah ditawarkan tempat dalam kabinet BN bagi menjalin kerjasama berkenaan. 

Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man bagaimanapun menafikan perkara itu. 

Haji Hadi perlu diganti jika ahli berhasrat melihat pengakhiran kepada "kekeliruan " dan "haru biru" yang menyelubungi parti itu ketika ini.

Masanya kini tiba untuk Datuk Seri Abdul Hadi Awang meletak jawatan sebagai Presiden PAS dan memberi laluan kepada pemimpin baharu yang mampu membawa perubahan kepada parti Islam itu, kata Husam Musa bekas naib presiden parti.

Kata Husam,Haji Hadi perlu diganti jika ahli berhasrat melihat pengakhiran kepada "kekeliruan " dan "haru biru" yang menyelubungi parti itu ketika ini, dengan pucuk kepimpinannya disifatkan sebagai "buang tabiat".

Ada sumber mengatakan Husam mencadangkan Timbalan Presiden parti, Tuan Ibrahim Tuan Man memangku tugas Hadi.

Bahkan di dalam ceramah Husam yang terbaru pun beliau mengkritik keras presidennya sendiri.

Mungkin Husam sengaja bertindak kurang ajar supaya dia dibuang dari PAS dan bakal menjadi Pengerusi parti Mat Sabu di Kelantan.

Friday 6 November 2015

Setelah penubuhan Parti Amanah Negara, kedudukan kerusi DUN juga berubah dengan DAP kekal 13 kerusi, PKR, 13 kerusi, BN, 12 kerusi, PAS 12 kerusi, PAN 3 kerusi dan bebas dengan 1 kerusi.

Selangor Darul Ehsan, sebuah negeri yang dilihat selangkah kehadapan dalam apa jua bentuk ekonomi dan sosio politiknya. Negeri ini juga tidak pernah sunyi daripada permasalahan politik sejak Pakatan Rakyat (kini Pakatan Harapan) menakluk negeri ini sejak dari Pilihanraya Umum ke 13 lalu.

Dalam penggal ini, Selangor tidak pernah sunyi daripada pergolakan politik. Ia bermula dari “rampasan kuasa” yang diatur DAP dan PKR terhadap Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim tahun lalu dengan membawa perubahan Menteri Besar dari kalangan mereka sendiri. Tidak terkecuali, Istana Selangor juga diheret sama dalam arena politik demi memastikan hasrat DAP selaku teraju utama negeri ini berjaya.

Kini, DAP sekali lagi memainkan peranan besar dalam percaturan politik negeri Selangor. Semuanya bermula apabila Menteri Besar Selangor, Azmin Ali enggan mengiktiraf Pakatan Harapan di Selangor. Tindakan beliau ini dipercayai kerana keinginan beliau merampas kuasa Presiden PKR dari Datin Seri Wan Azizah dan juga kecenderongan politiknya kepada PAS berbanding DAP.

Setelah beberapa siri rundingan tidak rasmi dilakukan oleh DAP Selangor tidak membuahkan hasil, akhirnya DAP seolah-olah mengisytiharkan perang mereka terhadap Azmin. Secara perlahan-lahan sokongan kepada Azmin dilihat semakin mengecil dan PAS di Selangor ditekan dengan tindakan beberapa Ahli DUN bertindak menyertai Parti Amanah Negara.

Ini menjadikan Azmin dan PAS dilihat seperti pasukan minoriti didalam Pakatan yang dibentuk sebelum ini. Perlantikan Tony Pua selaku Pengerusi DAP Selangor yang baru (walaupun tewas dalam pengundian perwakilan DAP Selangor) baru-baru ini seumpama pencetus kepada rampasan kuasa siri kedua di Selangor.

Kini, DAP dilaporkan sedang berusaha keras mahu membubarkan DUN Selangor dan undi tidak percaya akan diusulkan terhadap Azmin bagi membolehkan Pilihanraya Negeri diadakan pada tahun hadapan. Taktikal yang dirangka oleh DAP ini nyata dipersetujui oleh PAN yang mahu memusnahkan PAS di Selangor dan PKR yang enggan bersekongkol dengan Azmin dalam menjatuhkan Wan Azizah.

Jika dinilai semula keputusan Pilihanraya Umum yang lalu, bagi negeri Selangor, DAP menguasai 15 kerusi, PAS, 15 kerusi, PKR, 14 kerusi dan Barisan Nasional dengan 12 kerusi. Selepas rampasan kuasa berlaku di Selangor tahun lalu, kedudukan kerusi juga berubah dengan DAP kekal dengan 15 kerusi, PAS, 15 kerusi, PKR, 13 kerusi dan BN dengan 12 kerusi. Manakala Tan Sri Khalid yang memenangi kerusi Pelabuhan Klang berdiri diatas calon bebas.

Setelah penubuhan Parti Amanah Negara, kedudukan kerusi DUN juga berubah dengan DAP kekal 13 kerusi, PKR, 13 kerusi, BN, 12 kerusi, PAS 12 kerusi, PAN 3 kerusi dan bebas dengan 1 kerusi. Ini menjadikan suasana politik Selangor semakin bercelaru apabila nafsu serakah politik membelenggu kerajaan negeri Selangor.

Dalam satu perkembangan berasingan, DAP dilaporkan mahu merampas semula 8 buah kerusi yang dimenangi PAS tanpa mengira apa jua caranya. Andai Dewan Undangan Negeri Selangor enggan membubarkan Parlimen, DAP akan menggunakan taktik kotor mereka bagi merampas kerusi berkenaan dengan muslihat politik licik. Pastinya mereka akan meletakkan beberapa orang calon Melayu bertanding diatas tiket DAP.

Ini bertujuan untuk memudahkan DAP menerajui negeri ini kerana menerusi Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri, Seorang Menteri Besar negeri Selangor akan dilantik jika beliau merupakan seorang Melayu beragama Islam, lelaki dan juga anak atau permaustatin tetap negeri Selangor. DAP sedar akan hal ini dan mereka memerlukan kuasa penuh untuk meletakkan calon mereka selaku Menteri Besar yang baru.

Andai senario ini terjadi, DAP bakal memperolehi 23 kerusi, PKR, 13 kerusi, BN, 12 kerusi, PAN, 3 kerusi dan Bebas 1 kerusi. Ini jelas menunjukkan DAP mempunyai kuasa penuh bagi menerajui negeri ini dengan perlantikan “hamba Melayu” mereka selaku Menteri Besar boneka.

Inilah yang dirancang pemimpin DAP dan sedang diusahakan oleh Tony Pua selaku Pengerusi DAP negeri. Perkara ini bukan omongan kosong kerana apa yang dirancang ini didedahkan sendiri oleh beberapa sumber dalaman DAP yang menjangkakan Pilihanraya Negeri Selangor akan diadakan secara mengejut disaat semua parti, termasuk Barisan Nasional tidak bersedia menghadapinya.

Thursday 5 November 2015

DAP memilih Rafizi menggantikan Tony dalam cabaran yang dimulakan oleh Tony sendiri? Adakah ini pilihan terbaik DAP demi menyelamatkan maruah DAP pada mata masyarakat?

Pemilihan Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli bagi menggantikan Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara merangkap Pengerusi DAP Selangor, Tony Pua untuk berdebat dengan Pengerusi dan Pengarah Eksekutif 1MDB, Arul Kanda Kandasamy, dilihat ramai pihak sebagai satu pilihan yang silap.

Reputasi Rafizi yang terlalu banyak dipalit dengan kontroversi sebelum ini dilihat bakal membuka aib beliau sendiri dimata masyarakat. Paling mencuri tumpuan adalah kes Bafia beliau yang sehingga kini masih belum diselesaikan. Malah kenyataan beliau yang sebenarnya hanya “bergurau” dengan Datin Seri Rosmah Mansor dalam semua dakwaan beliau jelas menjatuhkan reputasi beliau dalam arus politik.

Persoalannya, kenapa DAP memilih Rafizi menggantikan Tony dalam cabaran yang dimulakan oleh Tony sendiri? Adakah ini pilihan terbaik DAP demi menyelamatkan maruah DAP pada mata masyarakat?

Umum sedia maklum bahawa Rafizi Ramli merupakan ahli PKR yang kini menjadi Setiausaha Agung parti berkenaan. Beliau lebih dikenali sebagai pengkritik tegar cukai barangan dan perkhidmatan (GST) dan mengkritik semua tindakan kerajaan untuk membangunkan negara. Beliau sebelum ini banyak memanjangkan pertuduhan berkenaan 1MDB yang dilakukan oleh rakan pembangkang yang lain.

Dalam isu 1MDB, satu-satunya Ahli Parlimen pembangkang yang dilihat pengkritik dan penghentam tegar daripada Pakatan Harapan adalah Tony Pua. Beliau yang juga salah seorang ahli Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) dilihat adalah individu pertama yang tampil mencabar Arul Kanda untuk berdebat secara terbuka.

Sungguh pun cabaran berkenaan disahut Arul, beliau dilihat sedaya upaya mencari helah untuk menggagalkan debat berkenaan. Dengan campurtangan Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia yang mengingatkan bahawa kehadiran Tony dan Arul Kanda dalam debat berkenaan menyalahi peraturan mesyuarat Parlimen kerana perdebatan berkenaan akan menyalahi peraturan Ahli PAC dan saksi utama kes berkenaan.

Tony sedar akan hal ini kerana beliau merupakan Ahli PAC dan Parlimen. Seperti sedia maklum, Tony enggan melepaskan jawatannya dari PAC dengan alasan, semua ahli PAC tidak boleh dipercayai dan pembangkang amat berharap kehadirannya didalam PAC. Jadi atas sebab itu beliau berusaha melenggahkan masa untuk berdebat dan Arul, sebagai orang luar dari PAC terperangkap dalam mainan Tony ini.

Perlantikan Rafizi sebagai “pak sanggup” dalam debat ini tidak lebih hanya sandiwara pembangkang. Keputusan Tan Sri Pandikar yang menegah sebarang perdebatan 1MDB sebelum hasil siasatan diumumkan dilihat sebagai modal terbaik politik DAP dan Tony untuk menampakkan 1MDB sebagai satu entiti yang sentiasa bersalah dan pengecut.

Oleh yang demikian, Rafizi boleh diibaratkan sebagai keldai tunggangan DAP dalam usaha mereka memalukan Arul dan 1MDB itu sendiri. Harus diingat, debat ini bukanlah antara parti politik, tetapi ianya lebih kepada sebuah parti politik dan gabungannya melawan sebuah syarikat berasaskan pelaburan, diluar dari lingkup politik tanah air.

DAP Selangor mahu kerajaan negeri menukar nama perkampungan nelayan Cina, Bagan Nakhoda Omar (BNO) kepada nama Cina, memandangkan ia didiami 100 peratus keluarga Cina.

DAP Selangor mahu kerajaan negeri menukar nama perkampungan nelayan Cina, Bagan Nakhoda Omar (BNO) kepada nama Cina, memandangkan ia didiami 100 peratus keluarga Cina.
Timbalan Setiausahanya, Ng Suee Lim turut meminta status Tanah Rizab Melayu di BNO ditukar dan warta dibatalkan.

“BNO ini diduduki 100 peratus nelayan Cina berpuluh tahun, tetapi statusnya masih lagi Tanah Rizab Melayu. Usaha untuk menukar sudah dilakukan bertahun-tahun, tetapi sampai sekarang tiada jawapan.

“Kalau esok kita berjaya tukar dan warta dibatalkan, ini kerana BNO diduduki 100 peratus nelayan Cina, jadi nama dia kena tukar.

“Kita kena tulis Bagan Nakhoda Chong, Omar tak payah, sebab kita akan ingat Noh Omar. Macam Nakhoda Noh Omar macam tu. Jadi, BNO ini kita tukar Bagan Nakhoda Chong lebih baiklah,” kata Adun Sekinchan itu ketika berbahas di Dewan Undangan Negeri Selangor, Khamis.

Tindakannya ditegur Adun BN-Permatang, Datuk Sulaiman Abdul Razak yang menyifatkan kenyataan sangat rasis.

“Sekinchan (Suee Lim) kuat sangat rasisnya. Kalau boleh, jangan kuat sangat sampai nama pun nak jadi isu.

“Nama tu dah lama dah Sekinchan. Tidak profesionallah. Bukan BNO itu Bagan Noh Omar, Nakhoda Omar,” katanya.

Sementara itu, Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali ketika mengulas perkara itu berkata, kerajaan negeri akan membuat semakan dengan Pejabat Tanah dan Galian (PTG) berhubung status tanah tersebut.

“Kita boleh batalkan dan ganti tapak lain dengan nilai sama. Pastinya kita nak tengok susun atur bangunan, kampung sedia ada, supaya masalah keselamatan, kesejahteraan rakyat dapat diambil kira,” katanya.

10 soalan yang didakwa akan dibangkitkan oleh Tony Pua semasa debat, saya dengan ini mengesahkan bahawa 1MDB akan memberi respon untuk kesemua soalan.

Saya merujuk kepada perintah oleh Speaker Dewan Rakyat, Yang Berhormat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia terhadap cabaran Tony Pua untuk berdebat dengan saya di televisyen secara langsung. Saya sangat menghormati Speaker dan kebijaksanaan beliau dalam menjaga integriti Dewan Rakyat dan prosiding PAC.

Tony Pua telah mencabar saya untuk berdebat di televisyen secara langsung pada 29 Oktober 2015. Pada hari yang sama, saya telah menerima cabaran Tony Pua dengan satu syarat, “Demi mengekalkan integriti siasatan PAC dan untuk mengelakkan sebarang konflik berkepentingan, Tony Pua mesti meletakkan jawatan terlebih dahulu daripada PAC”.

Apabila Tony Pua tidak mempunyai keberanian untuk melakukan perkara yang betul dan meletakkan jawatan daripada PAC, pada 31 Oktober 2015, saya telah menarik balik syarat tersebut. Saya telah menerima cabaran beliau tanpa sebarang syarat memandangkan Tony Pua telah membuat pelbagai dakwaan yang salah terhadap 1MDB dan saya sendiri, jadi saya mahu berdebat secara terbuka dan membetulkannya.

Sekarang Tony Pua telah mengesahkan bahawa beliau tidak akan meletakkan jawatan dari PAC dan beliau tidak akan berdebat dengan saya. Beliau telah memilih untuk bersembunyi di sebalik keahliannya dalam PAC untuk lari daripada pertarungan yang beliau secara agresifnya menganggu saya, di mana saya telah bersetuju tanpa sebarang syarat.

Berdasarkan pengalaman lepas, saya syaki cabaran Tony Pua lebih berunsurkan politik daripada keinginannya untuk mendedahkan kebenaran. Sebagai Ahli Parlimen untuk dua penggal, sepatutnya beliau sudah arif dengan prosedur Parlimen dan tahu bahawa debat itu tidak akan berlaku.

Saya ambil tahu bahawa gabungan Tony Pua (DAP dan Pakatan Harapan) telah menawarkan Rafizi Ramli sebagai pengganti berdebat. Soalan yang paling jelas adalah mengapa tidak Rafizi menggantikan Tony Pua dalam PAC supaya Tony Pua boleh berdebat dengan saya? Tony Pua yang telah mencabar saya. Beliau menjadikannya sesuatu yang peribadi, dan menggunakan kata-kata mengejek seperti “saya tidak akan menumbuk beliau”, “dakwaan saya”, “memalukan saya” dan sebagainya.

Tony Pua yang telah mengeluarkan cabaran untuk berdebat dan saya menerimanya tanpa sebarang syarat. Tidak pernah ada sebarang soalan berkaitan debat dengan Pakatan Harapan, tetapi sekarang muncul secara tiba-tiba, dalam keadaan terdesak dan saat-saat akhir, untuk menyelamatkan Tony Pua daripada malu. Ini semua jelas permainan politik, di mana saya sebagai seorang professional, tidak akan ditarik bersama.

Saya menghormati Rafizi sebagai pencabar yang layak. Beliau adalah seorang pendebat yang baik dan penuh sifat kelelakian. Saya amat suka zaman berdebat dengan beliau semasa zaman muda kami dahulu. Walaubagaimanapun, Speaker memegang kuasa mutlak bagi semua perkara berkaitan Parlimen. Beliau telah mengeluarkan perintah ke atas tanggungjawab saya sebagai saksi PAC dan sebarang debat hanya boleh diadakan selepas pendengaran kes PAC.

Untuk 10 soalan yang didakwa akan dibangkitkan oleh Tony Pua semasa debat, saya dengan ini mengesahkan bahawa 1MDB akan memberi respon untuk kesemua soalan, pada masa dan dalam forum yang sesuai, termasuk pihak berkuasa yang sah seperti PAC.

1MDB menegaskan kesediaan kami untuk berdepan dengan PAC. Pada masa yang sama, saya dan kumpulan akan kekal fokus dan komited untuk melaksanakan pelan rasionalisasi 1MDB.

Kenyataan Media oleh
Arul Kanda Kandasamy
Presiden dan Pengarah Eksekutif
Kumpulan 1Malaysia Development Berhad