Thursday 21 January 2016

Turun Padang Siri2 Pemuda Umno Bahagian Dungun.

Dungun : Pemuda Umno Bahagian Dungun, jawatankuasa  Pemuda UMNO Bahagian dan Pemuda penyelaras UMNO Dun Paka melaksanakan program turun padang siri 2 di kampung santong Dun Paka dan menghulur sedikit bantuan kepada yang memerlukan.

Ketua Pemuda Umno Bahagian Sdr Asri Bin Mohd berkata langkah itu bagi mengetahui secara dekat masalah yang dihadapi penduduk kawasan terbabit.

“Setakat ini kita telah pergi ke 5 buah rumah di kampung santong yang dijangka akan berterusan membuat program melawat dan ramah mesra seperti ini diDun Paka"

“Bila kita turun padang, kita dapat tengok masalah penduduk.dan tahu masalah dihadapi penduduk yang perlu diselesaikan,”

katanya kepada DungunTimes selepas selesai program ziarah sebentar tadi.

Wednesday 20 January 2016

Penghulu meramah mesra bersama warga emas.

Dungun : Penghulu Mukim Paka membuat kunjungan Ramah Mesra bersama Penduduk miskin kebajikan masyarakat yang bertempat di Kampung Sura Lapangan Terbang.

Kunjungan yang julung kali diadakan ini turut memberi keceriaan kepada penduduk miskin dengan kehadiran Sdr Mohd Shukri Bin Hashim Penghulu Mukim.

Antara objektif kunjungan merapatkan silaturahim di kalangan Penduduk miskin  bersama serta menyampaikan mesej supaya warga emas yang tinggal dirumah kebajikan bersatu dalam membawa agenda mendaulatkan bangsa melayu, Agama Islam dan Negara

Kunjungan seperti ini patut di teruskan lagi kerana dapat membina hubungan dan kerjasama yang baik antara penduduk dan masyarakat setempat.

ATRA TERUS GIAT DEKATI RAKYAT – OMAR ADAM

KUALA TERENGGANU: Agensi Transformasi Rakyat Terengganu (ATRA) akan meningkatkan program turun padang dalam mendekati serta mendalami isu-isu rakyat, sesuai dengan kehendak kerajaan negeri yang menekankan prinsip Transformasi Terengganu Baharu (TTB).

Pengarah ATRA, Omar Adam berkata, bagi mencapai hasrat tersebut, seramai 865 pegawai dan kakitangannya telah dan akan melaksanakan pelbagai program di peringkat akar umbi.

“Sebagai sebuah agensi yang bertanggungjawab antara lainnya sebagai penghubung antara kerajaan dan rakyat, ATRA komited untuk terus melaksanakan amanah tersebut dengan sebaik mungkin.

“Alhamdulillah sehingga kini kita telah menerima maklum balas yang sangat baik dan ATRA akan terus bergerak sesuai dengan peranannya,” kata beliau kepada Detik Malaysia di sini pada Selasa.

ATRA dijenamakan semula pada 3 November 2014 oleh Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman yang menjadi pencetus utama kepada gagasan TTB di negeri itu.

ATRA dipimpin Omar Adam atau lebih mesra dengan panggilan Cikgu Omar – seorang penggerak masyarakat dan penulis yang berbakat.

Sebelum ini, agensi itu dikenali sebagai Agensi Pembangunan Masyarakat Terengganu (APMT).

Mengulas lanjut, Omar, anak kelahiran Kampung Tanjung Sabtu, Manir berkata, penggerak ATRA juga akan meningkatkan pertemuan dengan pengundi di semua peringkat dan menjadi pendengar kepada setiap masalah mereka.

“Perkara yang dikemukakan kepada kami akan dicadangkan penyelesaiannya kepada pihak berkaitan agar masalah yang dihadapi rakyat akan dapat diselesaikan dengan baik.

“ATRA juga memberi fokus bagi membantu program-program di peringkat Dewan Undangan Negeri,” ujarnya.

Tuesday 19 January 2016

Pilihanraya Kecil akan Diadakan Untuk Tukar Menteri Besar?

Sudah masuk ke tahun 2016 namun Kerajaan Negeri Kelantan yang diterajui oleh Datuk Ahmad Yakob selaku menteri besar masih gagal menunaikan janji PAS kepada rakyat Kelantan.

Bukti yang amat jelas adalah nasib mangsa banjir 2015, sehingga kini masih kabur tentang masa depan mereka. Sikap lepas tangan Menteri Besar Kelantan dan juga pemimpin PAS yang lain ketara apabila Kerajaan Pusat terpaksa masuk campur dalam semua urusan yang melibatkan mangsa banjir tersebut.

Terkini rakyat Kelantan dikatakan mula membandingkan antara Ahmad Yakob dengan gaya kepimpinan Nik Aziz walaupun antara keduanya tidak banyak berbeza tentang ‘nilai kegagalan’ memimpin rakyat negeri itu.

Kepimpinan Ahmad Yakob yang dilihat lebih begitu ketara lemahnya berbanding bekas menteri besar sebelumnya iaitu Allahyarham Nik Aziz Nik Mat. Ahmad Yakob seolah tidak mampu untuk mengikut jejak langkah yang ditinggalkan oleh Allahyarham Nik Aziz.

Ada diantara ahli-ahli PAS yang mengatakan arwah lebih ‘keramat’ dari Ahmad Yakob. Dan Ahmad Yakob seperti tidak sanggup atau mungkin tidak alim seperti arwah Nik Aziz untuk mengeluarkan “fatwa panas”seperti yang pernah dilakukan oleh arwah dahulu.

Rakyat Malaysia dan warga Kelantan khususnya tidak pernah lupa tentang bagaimana beraninya Nik Aziz bermain kata-kata seumpama fatwa demi survival politik PAS di Kelantan.

Antara fatwa yang popular yang pernah dilontarkan oleh arwah, ialah memberi jaminan undi PAS masuk Syurga dan undi UMNO masuk Neraka, daripada berkawan dengan UMNO lebih baik berkawan dengan syaitan dan isytihar Lim Guan Eng seakan Khalifah Umar Abdul Aziz.

Monday 18 January 2016

PAN Janji Lantik Anak Nik Aziz Sebagai Menteri Besar?

Nik Omar Nik Abdul Aziz, anak bekas mursyidul am PAS Allahyarham Nik Abdul Aziz Nik Mat baru-baru ini telah diisytiharkan pada satu majlis malam ini sebagai salah seorang pemimpin Parti Amanah Negara (PAN) Kelantan. Malah beliau terus dilantik sebagai Pengerusi Panel Syariah Amanah Kelantan diumumkan menyertai parti serpihan PAS itu.

Timbalan Presiden PAN, Salahuddin Ayub turut mengesahkan bahawa Nik Omar telah menyertai parti serpihan Pas itu seperti yang diumumkan semasa Majlis Makan Malam Amanah Kelantan, di Petaling Jaya.

Namun, Nik Omar menafikan penyertaan beliau dalam‎ PAN seperti mana yang dilaporkan portal berita.

“Ambo (saya) tidak terlibat, ambo bawa pandangan masing-masing, kena terima kewujudan dan menghormati satu sama lain,” katanya.

Pengerusi PAN Kelantan, Datuk Wan Rahim Wan Abdullah menjelaskan penyertaan anak kedua bekas Mursyidul Am Pas, Nik Omar Nik Abdul Aziz ke dalam parti itu diluar pengetahuannya.

“Saya tidak boleh komen buat masa ini (penyertaan Nik Omar dalam PAN), saya kena dapatkan maklumat terlebih dahulu.

“Apa yang diumumkan pengerusi majlis malam itu (Nordin Hussin yang juga Pengarah Komunikasi PAN Kelantan) diluar pengetahuan saya, saya kena dapatkan maklumat terlebih dahulu,” katanya.

Kini kedengaran desas-desus PAN mahu menjanjikan Nik Omar sebagai Menteri Besar Kelantan sekiranya PAN berjaya menguasai Kelantan dalam pilihanraya nanti.

PAN seolah-olah hanya ingin menumpang populariti Allahyarham Nik Aziz untuk cuba meraih simpati rakyat Kelantan.

PAN kini ibarat ‘hidup segan mati mahu’ yang hanya sekadar menumpang populariti seseorang untuk terus hidup.

Rakyat Kelantan menunggu respon dari Nik Abduh, anak arwah Nik Aziz yang menjadi ahli Parlimen Pasir Mas yang terlalu jarang masuk melawat kawasan.

Sunday 17 January 2016

Keluar PAS Sertai PAN Umpama Keluar Islam?

Bekas pemimpin PAS yang kini menyertai Pakatan Harapan melalui Parti Amanah Negara (PAN) telah hilang hidayah dan istiqamah dalam perjuangan Islam.

Ketua Pemuda PAS, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz berkata, beliau menyedari perkara itu apabila mendengar ucapan beberapa bekas pimpinan PAS terbabit.

“Saya mendengar ucapan yang telah keluar PAS dan membentuk parti baru. Maka saya bersyukur kepada Allah di atas nikmat istiqamah berjuang di jalanNya.

“Saya memohon perlindungan denganNya daripada kedahsyatan hati-hati yang telah diterbalikkan sesudah hidayah dan istiqamah,” katanya lagi.

Justeru, Nik Mohamad Abduh berkata , beliau berdoa supaya Allah memperteguhkan hatinya dan seluruh penyokong PAS kekal dijalan Allah dan bersyukur di atas segala petunjuk dan hidayah.

Beliau turut memperingatkan Allah tidak akan memberi hidayah kepada sesiapa yang disesatkannya.

Bekas pemimpin PAS yang disingkirkan dalam pemilihan parti Jun 2015 menubuhkan PAN yang kemudian menyertai Pakatan Harapan bersama-sama DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Mereka disingkirkan oleh PAS kerana dilihat terlalu cenderung kepada DAP dan PKR yang memperjuangkan fahaman sekular secara mutlak di Malaysia.

Timbul persoalan, keluar PAS sama dengan keluar Islam?

Saturday 16 January 2016

Hakikat DAP adalah sebuah parti Cina.

Usaha DAP untuk meletakkan lebih ramai calon Melayu tidak akan mengubah hakikatnya bahawa ia adalah sebuah parti berasaskan kaum Cina, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Salleh Said Keruak.

Menurut Dr. Salleh, Umno boleh meletakkan calon Kristian dan PAS juga boleh meletakkan calon Hindu, tetapi ia tidak akan mengubah hakikat bahawa mereka adalah parti Melayu.

Dalam konteks yang sama, katanya, hanya kerana DAP meletakan beberapa calon Melayu dalam pilihan raya umum akan datang, itu juga, tidak mengubah hakikat bahawa DAP adalah sebuah parti Cina.

Katanya, DAP mendakwa ia sebuah parti pelbagai kaum tetapi ia adalah parti berbilang kaum yang berasaskan kaum Cina.

Menurutnya lagi, sama ada ia boleh mendakwa sebagai sebuah parti Malaysia yang sebenarnya adalah satu perkara yang masih terbuka untuk perbahasan, kerana kurang kehadiran orang Melayu dalam parti itu.

Menerusi tulisan di blognya, Salleh berkata jika DAP benar-benar mahu mengubah imej sebagai sebuah parti Cina, maka ia perlu melakukan lebih daripada sekadar meletakkan calon Melayu.

Menurut, komposisi kepimpinannya, ditambah dengan asas sokongannya, perlu mencerminkan dakwaan parti itu.

Demografi Malaysia, katanya ialah 60 peratus Bumiputera, dengan kira-kira 50 peratus atau lebih orang Melayu.

Oleh itu, katanya, melainkan pangkalan sokongan mana-mana parti mencerminkan ini, maka ia belum boleh lagi untuk mendakwa sebagai sebuah parti untuk semua rakyat Malaysia.

Thursday 14 January 2016

Pemuda Turun padang Bersama Masyarakat.

DUNGUN: Pemimpin Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Dungun menemui masyarakat melalui Aktiviti sempena Program Pemuda Dungun Turun padang yang bermula siang tadi.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Dungun, Saudara Asri Bin Mohd berkata, selain menemui masyarakat di bahagian itu, mereka juga mengadakan program ziarah cakna ke atas Ketua Cawangan Sura Lapangan Terbang En Abd Latif Bin Anang.

“Program ini bagi mendekatkan Pergerakan Pemuda UMNO dengan masyarakat dan ini sebenarnya adalah antara aktiviti rutin untuk masyarakat dan pengundi di Dungun.

“Program ini telah memberi kesan yang sangat baik dan sambutan yang diberikan juga cukup membanggakan,” katanya di sini.

Asri yang juga Pemuda Bahagian berkata, melalui ziarah cakna, ia telah membolehkan kami bertanya khabar kepada mereka yang sakit, sekaligus menyuntik semangat kepada mereka agar segera sembuh.

“Dengan cara ini, ia boleh merapatkan hubungan silatirrahim antara kami,” katanya.

Turut sama menyertai program JawatanKuasa Pemuda UMNO Bahagian Dungun dan Saudara Aswadi Abdullah Penerangan UMNO Dun Paka.

Wednesday 6 January 2016

PAN Dakwa Ulama PAS Dari Golongan Manusia Tertipu Atau Menipu?

Naib Presiden PAN, Hasanuddin Mohd. Yunus mengingatkan seluruh umat Islam kononnya ulama-ulama PAS yang menyatakan kesediaan menjalinkan kerjasama dengan UMNO demi perpaduaan umat merupakan golongan yang tertipu.

Tambah beliau, ulama PAS yang tertipu terbabit terpaksa memberi alasan yang tidak jelas kepada orang ramai berhubung kerjasama diantara PAS dengan UMNO tersebut.

“Sebarang usaha mana-mana ulama atau parti politik lain untuk menjalin hubungan dengan UMNO atas alasan yang tidak jelas adalah dikira tertipu,” dakwanya lagi.

Hasanuddin turut membayangkan kononnya ulama PAS gagal menyelami keperitan hidup Nabi Muhammad Rasulullah S.A,W sewaktu kecil sebagai yatim piatu.

Menurutnya, Nabi Muhammad dibesarkan oleh Abu Talib yang tidak kaya menjadikan baginda sangat sensitif kepada kesusahan orang lain dan membela orang yang teraniaya.

“Akhlak dan sifat perjuangan seperti ini harus diwarisi oleh setiap umat Islam.

“Syukurlah rakyat sedang bangkit untuk bersama PAN dan Pakatan Harapan (PKR dan DAP) dalam melakukan perubahan besar ini. Semoga Allah S.W.T merahmati usaha kita bersama,” katanya.

PAN turut mengaku mereka lebih Islamik perjuangannya daripada PAS, betulkah?

Menteri Besar Selangor Azmin Ali melantik ahli-ahli parti PAN sebagai ahli majlis tempatan.

PAS Selangor menghormati keputusan Menteri Besar Selangor Azmin Ali untuk melantik ahli-ahli parti Mat Sabu sebagai ahli majlis tempatan, walaupun ia tidak mengiktiraf parti serpihannya itu.

“Walaupun PAS tidak mengiktiraf AMANAH dan tidak mempunyai sebarang hubungan dengannya namun kami memahami dilema yang dihadapi oleh Azmin.

“Tetapi ini sama sekali tidak mengubah pendirian kami terhadap PAN yang telah mengkhianati PAS dan sentiasa menyerang PAS,” kata setiausaha PAS Selangor Mohd Khairuddin Othman dalam satu kenyataan semalam.

Khairuddin juga mengucapkan terima kasih kepada Azmin kerana tidak mengurangkan jumlah ahli majlis PAS dan berharap boleh terus bekerjasama untuk rakyat Selangor.

Exco kerajaan Selangor, Ean Yong Hian Wah hari ini mengumumkan bahawa PAN akan mendapat lapan daripada 34 kerusi majlis sepertimana diminta.

PAN akan mempunyai wakil di Sepang, Kuala Langat, Sabak Bernam, Hulu Selangor dan Kuala Selangor, katanya.

ADUN Hulu Kelang Saari Sungip dari PAN sebelum ini dilaporkan berkata bahawa parti itu berharap kerajaan negeri akan akur dengan permintaan untuk pelantikan 34 wakil di 12 majlis tempatan Selangor.

Umpama bersekedudukan selepas bercerai dan lebih memalukan ada yang umpamakan PAS tidak ubah seperti mabuk atau gila talaq. Tidak diperlukan tetapi masih enggan keluar dari hubungan tersebut. Rakyat Selangor melihat kepimpinan PAS Selangor hanya pentingkan jawatan untuk pastikan poket sentiasa kembung.

Chegu Bard mengatakan kerajaan Selangor berbohong mengenai tender pembalakan dua bidang tanah melibatkan projek jajaran talian elektrik Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Chubadak dan Mahkota Cheras, Kuala Lumpur.

Badrul Hisham Shaharin atau lebih dikenali sebagai Chegu Bard berkata beliau tidak akan menyerahkan bukti berkaitan dakwaannya mengenai isu pembalakan di Selangor kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Chegu Bard menambah gesaan Menteri Besar Selangor Azmin Ali supaya beliau menyerahkan dokumen berkenaan kepada SPRM mungkin ‘satu perangkap’.

“Tak ada kena mengena dengan SPRM. Nak beri tender adalah hak kerajaan negeri. Persoalannya ialah sama ada tender terbuka atau tidak.

“Adakah tujuan Azmin memancing saya ke SPRM menyerahkan dokumen yang saya ada sebagai perangkap untuk mengunci dokumen tersebut di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah 2009?,” jelas Chegu Bard lagi.

Beliau turut berkata akta itu menyebut dengan jelas laporan atau bukti yang diserahkan dalam laporan ke SPRM adalah diklasifikasikan rahsia dan salah untuk menerbitkannya semula.

Malah, beliau sekali lagi menggesa supaya Azmin mengklasifikasikan dokumen tersebut sebagai dokumen awam bagi membuktikan bahawa Azmin tidak berbohong.

“Mengaku atau tidak atau buka dokumen ini kepada awam dan kita tengok siapa sebenarnya yang betul,” katanya lagi.

Semalam, Azmin mencabar Chegu Bard supaya menyerahkan bukti kepada SPRM jika benar memiliki surat tender rundingan terus dalam projek pembalakan negeri dan bukanmenyalak memekak kepada pihak media.

Isu ini panas ekoran dakwaan Chegu Bard mengatakan kerajaan Selangor berbohong mengenai tender pembalakan dua bidang tanah melibatkan projek jajaran talian elektrik Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Chubadak dan Mahkota Cheras, Kuala Lumpur.

Apa tujuan Chegu Bard sebenarnya, hanya ingin menarik perhatian Azmin kerana diri sudah tersisih dari kelompok orang penting Anwar Ibrahim atau ada sesuatu permintaan yang dihajatinya supaya Azmin tunaikan segera? Projek besar mungkin?

Semudah itu sajakan duit rakyat mengalir kepada pemimpin yang tidak pernah berbakti kepada rakyat Selangor selama ini.

Pembahagian kerusi ahli majlis pihak berkuasa tempatan (PBT) selesai hasil perbincangan dalam majlis mesyuarat kerajaan negeri yang dipengerusikan Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali hari ini.

Exco Kerajaan Tempatan, Pemutihan Kilang Haram dan Pembangunan Kampung Baharu, Ean Yong Hian Wah berkata, parti serpihan PAS, Parti Amanah Negara (PAN) diperuntukkan lapan daripada 288 kerusi PBT itu.

Katanya, pembahagian itu hasil persetujuan antara PKR, PAS dan DAP tetapi enggan mendedahkan parti mana yang menyerahkan peruntukkan mereka kepada AMANAH.

“Tidak penting untuk tahu parti mana yang serahkan kerusi untuk PAN tapi perkara ini telah diputuskan kerajaan negeri,” katanya apabila didesak dengan soalan tentang yang berkait.

PAN sebelum ini mengemukakan permohonan untuk 34 kerusi dengan dua ahli majlis untuk setiap PBT namun diluluskan hanya lapan kerusi sahaja.

Pemimpin DAP itu berkata, buat masa ini lima kerusi sah milik PAN, antaranya ialah Sepang, Kuala Langat, Sabak Bernam, Hulu Selangor dan Kuala Selangor.

“Penggal baharu 2016-2017akan bermula 15 Januari ini dengan 288 kerusi akan diisi namun berbaki dua lagi kerusi milik PKR dan DAP yang belum diputuskan nama ahli majlis di Petaling Jaya dan Kuala Langat,”

“286 kerusi sudah dimuktamadkan bagaimanapun sebelum 15 Januari ini semua senarai nama akan dipenuhkan,” katanya lagi.

Mudah sajakan duit rakyat mengalir kepada pemimpin yang tidak pernah berbakti kepada rakyat Selangor selama ini. Sudah masuk dua penggal PKR menjarah kewangan rakyat Selangor dan terbaru ialah projek pintu gerbang Selangor yang menelan belanja RM9.8juta hanya untuk kerja-kerja baik pulih sahaja.

Bayangkan elaun mereka yang tidak pernah berkhidmat untuk rakyat Selangor sebanyak RM2500 berbanding dengan zaman BN memerintah hanya RM600 sahaja. Atau angka elaun tersebut sudah diturunkan atau ditambah lagi?

Benarkah setiap Ahli Majlis dapat kontrak cuci kawasan yang bernilai puluhan ribu ringgit setiap bulan?

Tuesday 5 January 2016

Pemuda Parti Amanah Negara (PAN) memperlekehkan hasrat Rayani Air mahu mendapatkan khidmat Mursyidul Am PAS, Datuk Dr. Haron Din sebagai Penasihat Syariah syarikat penerbangan itu.

Pemuda Parti Amanah Negara (PAN) memperlekehkan hasrat Rayani Air mahu mendapatkan khidmat Mursyidul Am PAS, Datuk Dr. Haron Din sebagai Penasihat Syariah syarikat penerbangan itu.

Pengarah Hal Ehwal Ekonominya, Syed Marwan Mujahid turut mempersoalkan mengapa Rayani Air yang tidak pernah mempunyai panel penasihat syariah atau ahli lembaga syariah tetapi berani menyatakan syarikat penerbangan itu patuh syariah sebelum ini.

“Sejauh mana Rayani Air patuh syariah? Apa definisi patuh syariah? Siapa yang mengesahkan mereka patuh syariah? Adakah cukup pramugari pakai tudung dan tidak hidang arak boleh dipromosikan sebagai patuh syariah.

“Berita terbaru, Datuk Dr Haron Din (Mursyidul Am PAS) nak dilantik sebagai penasihat syariah. Jadi, adakah sebelum ini tiada panel penasihat syariah atau ahli lembaga syariah?” katanya ketika diminta mengulas perkara itu oleh sebuah portal berita.

Syed Marwan turut mengingatkan Rayani Air perlu memastikan aktiviti perniagaan mereka yang didakwa sebagai patuh syariah bebas daripada sebarang bentuk riba sama ada dalam mendapatkan modal, pelaburan dan sebagainya.

“Dari sudut pengurusan kewangannya pula, adakah Rayani Air tidak terlibat dengan riba dan menggunakan khidmat bank patuh syariah sepenuhnya?” soalnya.

Beliau turut merendah-rendahkan operasi Rayani Air membuat bacaan doa sebelum memulakan penerbangan kerana mendakwa ia sekadar mengisi permintaan pengguna yang mahukan produk patuh syariah.

“Bagi saya, kalau dari sudut ekonomi, Rayani Air cuma ‘basic supply and demand’. Rayani Air mengisi ‘demand’ pengguna yang mahukan produk patuh syariah. Tapi persoalannya, ramai mana yang sebenarnya yang ‘demand’ produk patuh syariah?,” soalnya lagi.

Syarikat penerbangan terbaharu Malaysia, Rayani Air dengan slogan ‘Jom Terbang‘ sebelum ini menerima pujian ramai netizen menerusi lelaman media sosial tempatan ekoran pendiriannya yang amat mematuhi syariah.

Mungkin PAN lupa Presiden mereka Mat Sabu yang bertanggungjawab dalam isu ‘kehilangan’ duit Tabung Memali, syariahkah itu?

PAS menolak Kerjasama Dengan pengkhianat.

Pintu perbincangan antara PAS dan Parti Amanah Negara (Amanah) sudah ditutup untuk rundingan mengelakkan berlakunya pertembungan tiga penjuru pada pilihan raya umum akan datang, kata Naib Presiden Pas Datuk Mohd Amar Nik Abdullah.

Beliau berkata perbincangan itu tidak perlu diadakan kerana Amanah pernah membuat perjanjian dengan parti itu untuk tidak bertanding di Kelantan.

“Tapi dia (Amanah) kena ingat janji dia dahulu (untuk tidak bertanding) di Kelantan… orang ingat janji dia tu.

“Kalau dia nak bertanding itu hak dia. Dalam negara demokrasi tak ada orang boleh ganggu,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas menghadiri satu mesyuarat di Kompleks Kota Darul Naim di sini, hari ini.

Mohd Amar mengulas kenyataan Pengerusi Amanah Kelantan Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah semalam bahawa Amanah masih membuka pintu rundingan dengan PAS bagi mengelak berlakunya pertembungan tiga penjuru pada pilihan raya umum nanti.

Mohd Amar, yang juga Timbalan Menteri Besar Kelantan berkata, PAS tidak akan menghantar wakilnya untuk menghadiri sebarang perbincangan dengan Amanah kerana dari awal lagi PAS “tak ada apa-apa hubungan” dengan parti itu.

Saturday 2 January 2016

Hadi Awang menyambut tangan Najib dalam usaha bersatu atas nama agama dan bangsa,banyak individu yang berprasangka terutama dari dalam kelompok penentang usaha murni bersatu dalam kerangka Islam.

Pada siri yang pertama, dibicarakan tentang bagaimana kejayaan Perdana Menteri Najib Tun Razak mengadakan pertemuan dengan Presiden PAS Hadi Awang ketika Multaqa Serantau Alumni Al-Azhar Malaysia 2015 minggu lalu membuka satu lembaran baru dalam usaha mengadakan satu bentuk kerjasama strategik khususnya menjurus ke arah memperkukuhkan kesatuan agama serta bangsa walaupun berbeza ideologi kepartian nyata telah membuka mata dan membangkitkan perhatian ramai pihak terutama mereka yang sedia menentang sebarang usaha penyatuan ummah.

Kenapa masih ada pihak yang risau?

Najib Tokoh Perdamaian Antarabangsa

Sosok tubuh berperawakan sederhana ini sebenarnya bukanlah asing sebagai tokoh yang sentiasa memperjuangkan perpaduan.

Beliau adalah nama yang dihormati oleh lawan dan kawan. Hanya pentaksub pro pembangkang yang selalu kedengaran sinis menyindir dan mempersendakan ketokohan beliau dalam arena antarabangsa khususnya sebagai pemimpin yang sentiasa ditunjuk sebagai pendamai terbaik.

Namun fakta tetap fakta walaupun dibayangi dengan auta yang hebat daripada pihak yang tidak menyenangi cara beliau menyantuni perpaduan baik dalam negara mahu pun di luar negara.

Najib tetap ‘steady’ walaupun dituduh dengan pelbagai isu sejak setahun kebelakangan ini namun, pandangan umum di peringkat antarabangsa tetap menyanjung kredibiliti dirinya sebagai tokoh paling dipercayai untuk menjadi orang tengah dalam mana-mana perbincangan berkaitan pendamaian.

Sesekali agak hairan dengan cara rakyat Malaysia menilai Najib sebagai pemimpin mereka. Mungkin ini antara kesan buruk daripada permainan persepsi ganas oleh pihak pembangkang dan sudah mempengaruhi sebahagian ahli UMNO sendiri.

Ketika Hadi Awang menyambut tangan Najib dalam usaha bersatu atas nama agama dan bangsa baru-baru ini, terlalu banyak individu yang berprasangka terutama dari dalam kelompok penentang usaha murni bersatu dalam kerangka Islam.

Ia termasuklah datang dari salah seorang Naib Presiden PAS iaitu Iskandar Abdul Samad yang dilihat sanggup menjadi ‘barua’ dan ‘broker’apabila bercakap mewakili kelompok lain yang berada di luar parti. Beliau secara terang-terangan menolak ajakan bersatu walaupun itu yang Islam anjurkan dan pada waktu yang sama lebih mesra dengan musuh utama semasa partinya sendiri iaitu puak Parti Amanah Negara atau PAN.

Najib Mencerna Idea Pendamaian Dunia

Menelusuri peranan yang dimainkan Malaysia khususnya oleh Perdana Menteri Najib Tun Razak dalam isu antarabangsa memperlihatkan kepada umum bahawa Najib bukanlah seorang yang boleh dipandang enteng dan suaranya didengari oleh mereka yang mahu melihat keberadaan beliau sebagai orang yang mendamaikan pertelingkahan dan ada dalam satu-satu persengketan yang memakan masa berabad lamanya tetapi berjaya diredakan melalui meja rundingan dan Najib adalah individu yang dipanggil untuk menyaksikan perjanjian pendamaian itu berlangsung.

Walaupun Najib Tun Razak sering dicemuh kerana menjalankan dasar yang tidak popular dalam kalangan rakyat, beliau masih teguh pendirian dan dikenali sebagai tokoh pendamaian serantau khususnya di peringkat ASEAN.

Penglibatan aktif Najib khususnya dalam Perjanjian Damai Bangsamoro dan Kerajaan Filipina di mana beliau adalah individu yang terlibat dalam merangka serta melaksana beberapa siri pertemuan yang akhirnya membawa kepada kejayaan pemeteraian perjanjian damai tersebut.

Peranan Malaysia sebagai Pemudah Cara Pihak Ketiga diakui amat berkesan bagi meleraikan konflik selama berdekad-dekad selesai di meja rundingan.

Bukti seterusnya ialah keberanian Najib untuk melawat Gaza dengan membawa mesej kemanan. Beliau merupakan Perdana Menteri Malaysia yang pertama pernah melawat Palestin. Najib menamakan lawatan ke Gzanya sebagai lawatan kemanusian, untuk melihat kesengsaraan umat muslim di sana yang teruk diserang Israel.

Beliau menghabiskan masa selama enam jam untuk melihat dengan mata kepala sendiri kemusnahan akibat kekejaman Israel terhadap Gaza dan penghuninya.

Beliau melahirkan rasa kemanusiaan serta menggali erti humaniti terhadap apa yang disaksikannya itu. Beliau sanggup untuk membahayakan nyawanya sendiri di sebuah tempat yang belum aman tetapi demi membawa mesej kedamaian kepada dunia beliau telah melaksanakannya.

Najib terbukti sentiasa menyantuni nilai perpaduan dalam apa jua tindakan beliau sama ada ketika berhdapan isu di dalam mahu pun luar negara.

Terbukti harapan untuk melihat bangsa Melayu bersatu dalam kerangka agama yang murni dan syumul bukanlah satu kepura-puraan yang sengaja disajikan untuk meraih sokongan undi bagi pilihanraya akan datang.

Kalau ia condong ke arah meraih undi simpati tentunya program tersebut diadakan lebih hampir dengan musim pilihanraya.

Najib dilihat ikhlas tidak meletakkan sebarang syarat dalam pertemuan eksklusif yang diadakan tempoh hari. Hadi Awang pula menerima atas dasar apa yang beliau fahami selaku tuan guru bagi pihak ahli PAS.

Kenapa masih ada pihak yang meragui kebaikan yang ada dan sanggup menambah dengan tohmah dan benci segala yang dianjurkan agama Islam itu sendiri?

Pelik bin ajaib apabila terdapat penentang yang datang dari sebuah parti yang sejak penubuhannya mengaku meletakkan Islam sebagai teras perjuangan tetapio bila diajak kepada satu kebaikan, mereka menolaknya dengan keras!

Sesungguhnya bangsa lain bertepuk sorak gembira tanda suka dengan perpecahan yang ada dalam bangsa yang menjadi tuan di negara ini.

Apakah kita mahu menolak fakta hal itu sedang berlaku tanpa perlu merasakan ia satu ancaman besar kepada ummah secara keseluruhan?

Apakah kita mahu terus taksub ghuluw dengan ideologi akibat perbezaan fahaman yang dianuti parti masing-masing sehingga tidak mahu langsung memberikan ruang kepada perpaduan untuk mencelah masuk di antara keduanya?

Maka, marilah bersama kita mengenepikan perbezaan yang menjurangkan norma perpaduan yang ada serta terus istiqamah meneguhkan diri untuk menyokong usaha kerjasama UMNO-PAS dan sebenarnya tidak perlu ada satu pihak pun yang mesti risau?

Minyak Turun,Harga Barang Masih Mahal?” Pembeli.

Jika sebelum ini ramai pengusaha, pemborong dan peruncit merungut, keadaan mereka cukup tertekan dengan kenaikan harga minyak sehingga memaksa mereka menaikkan harga barangan, namun setelah harga minyak turun, kelompok ini masih bertegas, enggan menurunkan harga barangan.

Tinjauan yang dilakukan di Pasar Besar Selangor dan di pasar basah Chow Kit hari ini, rata-rata pembeli merungut kerana setelah dua hari harga minyak diturunkan sehingga RM 0.20, harga barangan masih kekal sama. Malah ada peniag bertindak meningkatkan sedikit harga jualan mereka.

Menerusi satu temubual dengan salah seorang pembeli di pasar basah Chow Kit, beliau mendakwa, ada beberapa barang didapati telah meningkat sedikit walaupun harga pasaran minyak kini sudah menurun. Beliau yang hanya mahu dikenali sebagai Puan Sarina berkata, kenaikan harga barangan ini seolah-olah seperti tiada kawalan dari pihak yang berwajib.

Beliau jelas hairan, kenapa apabila harga minyak kini telah turun, secara logiknya harga barangan juga turun. Namun bagi peniaga, mereka memberikan alasan, harga yang diperoleh dari pemborong agak meningkat. Jesteru para peniaga ini tidak mempunyai cara lain selain daripada menaikkan sedikit harga barangan.

Penyamaran yang dilakukan penulis awal pagi tadi mengesahkan memang tiada sebarang penurunan harga dilakukan peniaga. Malah lebih melucukan, ada dikalangan peniaga memberikan alasan kononnya musim tengkujuh ini menghadkan bekalan yang diperolehi dari pembekal.

Apabila disoal mengenai harga minyak yang kini menunjukkan trend menurun, mereka memberikan alasan, tiada jaminan dari mana-mana pihak yang harga semasa minyak tidak akan naik sehingga mencecah RM 2.00 seliter. Jesteru, tidak salah bagi mereka untuk samada terus mengekalkan harga barangan mahupun menaikkan sedikit harga barangan.

Malah, lebih memualkan, ada yang memberikan alasan GST sebagai helah untuk mereka menaikkan harga barangan sewenang-wenangnya.

Jelas tindakan seumpama ini memang menekan pengguna disaat peningkatan kps sara hidup yang membelenggu saat ini. Pihak berwajib seperti KPDNKK wajar melakukan pemantauan dengan lebih kerap seperti yang diarahkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib semasa beliau merasmikan penutupan Perhimpunan Agung UMNO pada pertengah bulan lalu.

Apa yang pasti, bukan kerajaan yang mengawal semua harga barang yang ada di pasaran hari ini. Apa yang mampu dilakukan oleh kerajaan hanyalah melakukan pemantauan dengan lebih kerap demi menjaga kebajikan dan keperluan pengguna.