Wednesday 7 October 2015

PAS diketepikan dalam pakatan versi 2.0 itu gara-gara tekanan kuat oleh DAP.

BAHARU sahaja diwujudkan Pakatan Harapan pada 22 September lalu konon bagi menggantikan Pakatan Rakyat yang dikuburkan mereka sendiri ekoran ‘perang besar’ antara DAP dan PAS gara-gara isu Hudud awal tahun ini.

Lebih malang, PAS diketepikan dalam pakatan versi 2.0 itu gara-gara tekanan kuat oleh DAP walaupun sekutunya, PKR ‘bersandiwara’ konon parti Islam tersebut bakal menyertai gabungan pembangkang berkenaan akhirnya.

Aneh dan cukup pelik, Parti Amanah Negara (PAN), serpihan PAS ditubuhkan sekumpulan 18 pemimpin PAS yang tewas pada muktamar dan dilancarkan 16 September lalu itu boleh pula diterima memasuki Pakatan Harapan.

Uniknya, PAN yang dijenamakan semula daripada Parti Pekerja Malaysia itu dapat menganggotai pakatan baharu tersebut kerana disokong kuat DAP, konon bagi menggantikan PAS khasnya menarik undi masyarakat Melayu.

Malah pengumuman pengesahan secara rasmi parti berkenaan oleh Pendaftar Pertubuhan (RoS) dibuat dalam sidang media 2 Oktober lalu di pejabat pemimpin DAP, Lim Guan Eng di Komtar, George Town, Pulau Pinang.

Itu cerita PAS dengan serpihannya, PAN. Sebelum itu banyak juga serpihan PAS muncul tetapi akhirnya ‘pupus’ langsung seperti Berjasa dan Hamim, waima PAS sendiri asalnya serpihan akibat perpecahan UMNO pada 1951.

Bagaimanapun portal AgendaDaily pada Rabu mendedahkan sesuatu yang jauh lebih besar apabila PKR turut dilaporkan bakal memiliki serpihan ala PAN dengan diwujudkan oleh ramai bekas atau pemimpin parti tersebut.

Lebih dahsyat, sumber RoS mengesahkan pembentukan parti serpihan PKR itu dan diakui sendiri bekas tokoh parti itu yang juga mantan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dipetik oleh portal tersebut.

Bahkan ketika mengulas mengenai desas-desus mengenai pendaftaran parti baharu oleh beberapa pemimpin PKR, Ahli Parlimen Bandar Tun Razak dan ADUN Pelabuhan Klang itu mengatakan beliau langsung tidak terkejut.

No comments:

Post a Comment