Friday 19 August 2016

Guan Eng, Ramasamy Didesak Letak Jawatan. Sebarkan

Sekumpulan masyarakat India hari ini berkumpul di Komtar, Pulau Pinang, bagi mendesak Ketua Menteri Lim Guan Eng dan timbalannya meletakkan jawatan.

Kumpulan itu, mendakwa mewakili masyarakat daripada beberapa kuil di Batu Kawan, kemudian menyerahkan memorandum lima perkara kepada kakitangan pejabat Ramasamy di bangunan itu.

Jurucakap mereka MV Mathiyalagan Veeriah berkata mereka tidak puas hati dengan tindakan “tidak adil” terhadap masyarakat itu yang didakwanya menyokong Pakatan Rakyat pada 2008.

Beliau berkata Ramasamy pada Disember 2015 berjanji untuk berundur sebagai timbalan ketua menteri dan pengerusi Lembaga Wakaf Hindu Pulau Pinang (PHEB) jika kalah dalam pertikaian kes kuil Sri Maha Muthu Mariamman.

Pada 11 Ogos, kata Mathiyalagan, Mahkamah Tinggi Pulau Pinang memutuskan PHEB tiada hak terhadap pengurusan kuil itu.

Mereka kelihatan membawa bendera hitam dan beberapa kain rentang yang menyasarkan Ramasamy.

Antara kain rentang dipamer berkaitan komen beliau berkaitan perayaan Thaipusam.

“Hoi, P Ramasamy. Kami tidak layak komen tentang Thaipusam. Adakah adil untuk pecah kuil bersejarah di ladang Byram untuk membina tong sampah?” menurut tulisan di kain rentang itu.

Wednesday 17 August 2016

Ahmad Razif arah siasat dakwaan Azizulhasni. Sebarkan

KUALA TERENGGANU 17 Ogos – Menteri Besar, Ahmad Razif Abdul Rahman mengarahkan Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) Terengganu menyiasat dakwaan jaguh lumba basikal negara, Azizulhasni Awang yang kecewa kerana permohonannya mendapatkan basikal sebagai persediaan menghadapi Olimpik Rio dikatakan tidak mendapat perhatian kerajaan negeri.

Ahmad Razif menegaskan, beliau amat terkilan sekiranya dakwaan itu berasas, dan sehubungan itu turut meminta Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Sumber Manusia negeri, Datuk Rozi Mamat memberi perhatian terhadap isu berbangkit bagi mendapatkan kesahihan.

Beliau menegaskan permohonan jaguh kelahiran Dungun itu yang dikatakan ditujukan kepadanya adalah di luar pengetahuannya namun tidak menolak kemungkinan ia disebabkan ‘terlepas pandang'.

"Saya tidak tahu cerita ini, saya tak dapat pengesahan lagi mengenainya. Saya minta MSN dan Datuk Rozi jalankan siasatan dan lihat semula perkara ini. Saya tidak mahu komen apa-apa sehingga saya dapat betul-betul pengesahan untuk kita buat tindakan sewajarnya.

"Setakat hari ini, saya tidak tahu menahu hal ini dan saya juga tak kenal siapa pengurus Azizul (yang dikatakan menghubungi Ahmad Razif). Kalau betul (dakwaan), saya bagi pihak kerajaan memohon maaf," katanya.

Sementara itu, Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaludin menasihatkan Azizulhasni supaya meraikan kemenangannya terlebih dahulu dan tidak terlibat dengan polemik lain pada masa ini.

Katanya, kritikan Azizulhasni terhadap Ahmad Razif tidak sepatutnya merosakkan sambutan kemenangan.

“Saya akan maklumkan kepada Azizulhasni, adalah lebih baik dia raikan kejayaan di Olimpik dulu.

“Dalam aspek sukan, dia telah membuktikan kedudukannya malah dia gembira dengan pencapaian itu, mungkin ada benda yang terlepas pandang sehingga perkara ini berlaku,” katanya di Rio.

Beberapa jam selepas memenangi gangsa, Azizulhasni dalam satu entri di laman media sosial miliknya menyindir Ahmad Razif yang didakwa tidak melayan permohonan tajaan sebuah basikal ‘RoadBike’ untuk kegunaannya dan seorang lagi Olimpian Terengganu, Fatehah Mustapa.

Tuesday 16 August 2016

PAN masih belum memberi kesan kepada PAS terutama di Kelantan. Sebarkan @ share aje

PAS tidak membenarkan parti selain Parti Keadilan Rakyat (PKR) untuk bertanding di Kelantan pada pilihan raya umum (PRU) akan datang, kata Naib Presidennya Datuk Mohd Amar Nik Abdullah.

Mohd Amar berkata jika benar parti pembangkang ingin mengambil semangat satu lawan satu menentang Barisan Nasional (BN) pada PRU akan datang, mereka perlulah memberi laluan kepada PAS dan PKR untuk menentang BN di negeri itu.

“Kalau kita nak ambil semangat satu lawan satu dengan BN ini, maknanya parti selain PAS dan PKR, tak boleh bertanding di Kelantan (pada PRU akan datang).

(Jadi) jangan kacaulah,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penutup Hari Sayyidatina Khadijah di sini, hari ini.

Beliau mengulas mengenai kemungkinan Parti Amanah Negara (PAN), parti serpihan PAS, bertanding di Kelantan pada PRU akan datang.

Ditanya mengenai ancaman PAN di Kelantan, beliau berkata penubuhan parti itu setakat ini masih belum memberi kesan kepada PAS terutama di Kelantan.

“Kami setakat ini boleh tidur lena lagi,” katanya.

Wednesday 3 August 2016

Majlis Sambutan Syawal Peringkat Dungun.

DUNGUN : Ketua UMNO Bahagian Dungun, Dato Hj Din Bin Adam dan KPDNKK Negeri Terengganu menganjurkan majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri peringkat Dungun,semalam.

Dato Hj Din yang juga Pegawai Pembangunan Parlimen meraikan kehadiran orang ramai pada majlis yang bermula pada pukul 830 mlm hingga jam 1pagi di Tapak Tanah UMNO Dungun,Sura Jeti,Dungun,Terengganu.

Pada majlis itu juga,YB Dato Seri Hamzah Zainudin Menteri, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi Dan Kepengunaan ( KPDNKK ) turut hadir sama meraikan Jamuan Hari Raya kira-kira 10,000 pengunjung dari Parlimen Dungun, pada malam semalam.

Lebih 50 gerai menghidangkan pelbagai juadah antaranya nasi minyak, laksa, lemang, nasi dagang , kambing bakar, sate dan ketupat dan berbagai lagi juadah disediakan pada majlis itu.

Sambutan Jamuan Raya Aidilfitri Parlimen Dungun itu turut mempersembahkan persembahan dari nasjid,dikir barat dan kumpulan SUTRA.