Monday 19 October 2015

Beliau dilaporkan melabelkan PAN sebagai parti HARAM untuk diikuti oleh umat Islam di negara ini kerana beliau mendakwa ianya bertentangan dengan ajaran agama Islam.

Dunia politik tanahair hari ini tidak pernah sunyi daripada kemelut politik berpanjangan samada melibatkan parti kerajaan mahupun pembangkang. Salah satu parti berteraskan Islam yang sedang mengalami kemelut politik hari ini adalah Parti Islam Se-Malaysia (PAS) yang berhadapan dengan tindakan Parti Amanah Negara (PAN) yang begitu rakus mahu merosakkan keharmonian PAS.

PAN yang ditubuhkan oleh mereka-mereka yang kecewa tewas dalam pemilihan Muktamar PAS pada Jun lalu kini giat “mencuri dan merompak” ahli-ahli PAS samada melibatkan ahli biasa, Ahli Dewan Undangan Negeri mahupun Ahli Parlimen samada di Kelantan sendiri mahupun di seluruh negara.

Kerakusan PAN ini jelas menimbulkan rasa kurang senang PAS apabila melihat begitu mudahnya ahli-ahli parti mereka terutamanya ADUN mahupun Ahli Parlimen mereka berpaling tadah dengan menyertai parti baru ini. Berkongsepkan hampir sama, cuma membezakan mereka adalah ketaatan PAN kepada DAP dengan menolak usaha PAS mahu mewujudkan negara Islam dan perlaksanaan hukum hudud di negara ini.

Dalam hal ini, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mendedahkan bahawa Dr. Sheikh Yusuf Al Qardhawi ada menghubungi beliau dan bertanyakan tentang kewujudan parti politik baru yang mirip dengan PAS di negara ini. Dr Sheikh Yusuf mendakwa, ada beberapa orang wakil PAN bertemu dengan beliau bertujuan untuk meraih sokongan beliau terhadap penubuhan parti baru ini.

Memandangkan hubungan akrab antara Dr Sheikh Yusuf dan Datuk Seri Abdul Hadi Awang selaku Timbalan beliau didalam Kesatuan Ulama Sedunia, beliau ada bertanyakan kepada Datuk Seri Abdul Hadi berhubung kewujudan parti ini samada ianya berlandaskan syarie dan membela nasib rakyat atau sebaliknya.

Selepas menerangkan hal yang sebenar, pandangan yang diberikan oleh Dr Sheikh Yusuf cukup mengejutkan Datuk Seri Abdul Hadi. Beliau dilaporkan melabelkan PAN sebagai parti HARAM untuk diikuti oleh umat Islam di negara ini kerana beliau mendakwa ianya bertentangan dengan ajaran agama Islam.

Hal ini didedahkan sendiri oleh Datuk Seri Abdul Hadi dalam sesi ceramah beliau malam tadi di Wisma Ibadur Rahman, Tumpat, Kelantan kelmarin. Pendedahan ini jelas menampakkan hala tuju yang jelas lari dari teras perjuangan asal PAS terhadap hasrat mereka mendirikan sebuah Kerajaan Islam dengan mengamalkan Undang-Undang Syarie yang nyata ditolak PAN dalam banyak ceramah mereka.

Tegas Datuk Seri Abdul Hadi, beliau tidak pernah memburukkan mana-mana parti politik saingan mereka. Apa yang beliau lakukan hanya menerangkan kedudukan sebenar kewujudan PAN dalam arus politik semasa tanpa perlu memburukkan kewujudan PAN pada mata Dr Sheikh Yusuf Al Qadrawi. Beliau juga dilaporkan mengajak ahli PAS untuk merenung sebentar perjuangan mana yang benar, samada PAN ataupun PAS.

Tambahan pula reputasi Dr Sheikh Yusuf Al Qadrawi yang diketahui ramai sebagai sekutu rapat Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menjadikan PKR terlalu sukar untuk mendekati pengundi Melayu Islam berikutan kenyataan yang dikeluarkan oleh Dr Sheikh Yusuf ini berkenaan PAN.

Andai Dr Sheikh Yusuf sendiri melabelkan PAN sebagai parti haram, bagaimana PKR mahu meneruskan kerjasama dengan PAN? Adakah matlamat PAN hari ini menghalalkan cara dengan hanya mendapat sokongan penuh dari DAP dalam mendekati umat Islam di negara ini? Dalam beberapa segi, pendedahan Datuk Seri Abdul Hadi Awang ini memberi dimensi baru terhadap kewujudan PAN dalam arus politik negara.

No comments:

Post a Comment