Monday 9 November 2015

Bekas Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamed disifatkan sebagai “pembunuh” karier tiga orang Perdana Menteri.

Bekas Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamed disifatkan sebagai “pembunuh” karier tiga orang Perdana Menteri. Beliau juga bertanggungjawab dalam menjatuhkan Tunku Abdul Rahman dan Tun Abdullah Ahmad Badawi, dan menyeru Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk berundur.

Ulasan awal ini adalah daripada petikan buku yang bertajuk “Malaysia Post-Mahathir : A Decade of Change” hasil tulisan Profesor James Chin dari Universiti Tasmania. Dalam buku yang dikeluarkan pada Isnin lalu, Chin berkata bahawa Tun M telah mengekalkan kuasa dalam politik Malaysia bagi memastikan “UMNO dan ketuanan Melayu kekal relevan”.

Ujar beliau lagi, perkara politik yang amat ditakuti Mahathir adalah pembaharuan yang akan menggalakkan hak kewarnegaraan yang sama rata. Bagi Tun M, mengekalkan sistem politik berasaskan kaum adalah kunci untuk mengekalkan UMNO berkuasa dan dalam jangka masa panjang, ia akan membenarkan pembentukan dinasti politik keluarga iaitu Dinasti Mahathir.

Chin juga berkata dalam buku yang disunting oleh beliau dan Prof Joern Dosch dari Universiti Rostock, Jerman, beliau mendakwa Tun M telah cuba untuk memastikan “bahawa dinasti politiknya” kekal utuh melalui anaknya yang juga Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

“Mahathir yang sudah berumur 90 tahun pada 2015, mahu mmelihat Mukhriz dilantik sebagai Naib Presiden UMNO pada 2014 untuk mendapatkan jawatan Perdana Menteri. Disebabkan cubaan itu gagal, menyingkirkan Najib adalah satu cara bagi memberi peluang untuk Mukhriz naik ke atas,” tulis Chin dalam bab “A Decade Later : The Lasting Shadow of Mahathir”.

Chin menambah, sebarang cubaan Malaysia untuk menuju ke arah ekonomi berasaskan merit akan mendapat tentangan daripada Tun M, sama seperti yang dialami oleh Najib dengan Model Ekonomi Baru (MEB). Beliau berkata MEB merupakan satu usaha untuk menukar tindakan afirmatif daripada berasaskan etnik kepada berasaskan keperluan.

Chin berkata peralihan ini akan menjadikan Malaysia lebih berdaya saing, serta lebih mesra pasaran dan pelabur. Beliau berkata ini adalah dorongan ke arah ekonomi berasaskan merit, bertentangan dengan apa yang diperjuangkan oleh Tun M memandangkan ia adalah satu usaha untuk peralihan daripada pendekatan perkauman yang digunakan di bawah Dasar Ekonomi Baru (DEB).

Chin berkata, Tun M dan kumpulan pejuang hak Melayu seperti Perkasa melihat ini sebagai serangan terbuka ke atas hak istimewa orang Melayu. Dalam masa yang sama, Tun M percaya bahawa tanpa DEB, terdapat kemungkinan rusuhan kaum seperti 13 Mei akan meletus kembali.

No comments:

Post a Comment