Wednesday 5 August 2015

Sarawak Report membuat pendedahan berani mengenai pembalakan haram

Apabila menyebut tentang Sarawak Report, pastinya akan terbayang seorang wanita yang berumur 55 tahun dan berambut perang. Membawa nama Clare Rewcastle, beliau dilahirkan di Sarawak pada tahun 1960.

Pada zaman kanak-kanak, beliau mendapat pendidikan awal di sebuah sekolah di negeri Sarawak dan mengikut kedua ibu bapanya kembali berpindah ke United Kingdom pada usia 8 tahun.

Dengan kelulusan Ijazah Sarjana Hubungan Antarabangsa dari London School of Economics, beliau menyertai BBC World Sevice sebagai wartawan pada tahun 1983. Beliau bertemu jodoh dengan Andrew Brown yang merupakan adik kepada bekas Perdana Menteri Britain, Gordon Brownn kira-kira 3 tahun kemudian.

Dikalangan teman sekerja, beliau selalu mengatakan bahawa beliau amat merindui Sarawak dan terdorong dari perasaan kononnya ingi berbakti kepada negeri Sarawak, beliau menerbitkan Sarawak Report pada Februari 2010 dan menubuhkan Free Sarawak Radio pada Disember 2010.

Pada peringkat awal penubuhannya, Free Sarawak Radio dan penerbitan Sarawak Report membuat pendedahan berani mengenai pembalakan haram yang berlaku di Negeri Sarawak. Beliau dilaporkan berulang alik dari London ke Kuching untuk meninjau sendiri permasalahan pembalakan haram ini.

Walau bagaimanapun, penulisan beliau mengenai pembalakan sedikit demi sedikit telah berubah apabila semakin berani menghentam pemerintahan Ketua Menteri Sarawak pada masa itu, Pehin Abdul Taib Mahmud sehingga berani mendakwa Pehin mempunyai kira-kira 10 akaun pesisir di Switzerland.

Akibatnya, pada tahun 2013, beliau disekat dari memasuki Sarawak dan pernah diusir dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching dan terpaksa berpatah balik ke Singapura. Bermula dari sinilah serangan beliau terhadap Pehin Abdul Taib Mahmud tidak pernah padam dan masih berlaku sehingga hari ini.

Di arena politik tempatan, beliau adalah individu pertama yang melaporkan kononnya terdapat penglibatan kira-kira 40,000 pengundi hantu dari Bangladesh pada Pilihanraya Umum yang ke 13 lalu. Dakwaan ini timbul kira-kira jam 4 petang pada hari pengundian sedangkan semua pusat mengundi masih belum lagi ditutup sepenuhnya.

Dakwaan mengarut ini begitu pantas disambut oleh Bekas Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan menjadikan Stadium Kelana Jaya sebagai medan dakwaan beliau.

Perkara ini tidak pernah dibuktikan oleh Clare sehingga saat artikel ini ditulis. Bagi Clare, beliau mendapati rakyat Malaysia begitu mudah terpengaruh dengan persepsi dak dakyah yang tidak diketahui benar atau tidak. Terdorong diatas rasa inilah, Clare begitu berani mencipta pelbagai persepsi dan andaian dalam usaha beliau menjatuhkan Perdana Menteri.

Benar, Clare dilahirkan di Sarawak dan itu bukanlah lesen bagi Clare untuk mendakwa dirinya sebagai pembela nasib rakyat negeri Sarawak. Usaha terkini beliau dengan kerjasama beberapa orang pemimpin pembangkang termasuk Tun M dalam menjatuhkan pemerintahan Datuk Seri Najib jelas merupakan satu tindakan biadab bagi seorang yang diluar politik dan rakyat negara ini.

Beliau jelas mencabul kedaulatan negara ini dengan mencampur adukkan persepsi dan fitnah sehingga mampu mencetuskan polemik berpanjangan didalam negara. Lebih menyedihkan, ada dikalangan rakyat negara ini terutamanya Melayu begitu mudah “menghadam” berita yang dilemparkan oleh beliau sehingga seolah-olah menjadi “kitab” wajib bagi mereka yang berniat menjatuhkan kerajaan.

No comments:

Post a Comment