Saturday 26 March 2016

PAS Perjelas Mengapa Tolak Usaha Guling Kerajaan, PM Najib. Sebarkan..




Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang hari ini menjawab persoalan mengapa PAS tidak mengambil kesempatan untuk menumbangkan UMNO pada waktu parti Melayu itu sedang diserang hebat oleh Pakatan Harapan melalui kerjasama kumpulan Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Abdul Hadi turut memberi beberapa sebab mengapa PAS enggan bersengkongkol dengan konspirasi kumpulan Mahathir dan Pakatan Harapan untuk menjatuhkan kerajaan dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak secara tidak sah iaitu melalui demontrasi dan rusuhan jalanan.

“Ramai bertanya, mengapa PAS tidak mengambil peluang daripada krisis parti kawan dan lawan yang sedang dihadapi oleh masing–masing? Khususnya kerana PAS dikira selesai menghadapi masalah dalamannya, sehingga menyingkirkan masalahnya menjadi serpihan (Parti Amanah Negara).

“Perlu difahami bahawa politik perlu kepada perhitungan yang amat teliti dan mendalam. Kepada ahli dan penyokong setia PAS, saya tegaskan bahawa politik yang berlandaskan Islam wajib berakhlak bagi mencapai kemenangan, bersama hikmah yang berhidayah kerana politik kita ada perhitungan dosa dan pahala. Matlamatnya pula tidak menghalalkan cara dan bukan untuk berlumba menjadi pemimipin untuk mengambil kesempatan bagi diri dan kroni tetapi amanah menyelamatkan umat dunia dan akhirat,” jelasnya dalam satu kenyataan media hari ini.

Abdul Hadi berkata, ramai bertanya mengapa PAS tidak bersungguh menyokong usul undi tidak percaya bagi menjatuhkan kerajaan Pusat dan Terengganu serta tidak bersemangat menyertai himpunan yang dianjurkan oleh Pakatan Harapan.

Beliau meminta ahli dan penyokong PAS memahami walaupun langkah itu berpotensi menumbangkan UMNO tetapi Pakatan Harapan ibarat sekumpulan ikan yang bercampur dengan belut, ular dan buaya yang membahayakan.

“Nelayan yang bijak walaupun miskin, tidak boleh menangguk di air keruh yang ikannya bercampur belut, ular dan buaya kerana membahayakan diri dan merosakkan jala dan pukat, bahkan boleh menenggelamkan perahunya serta membahayakan diri,” katanya.

Justeru, katanya, lebih baik menangguk di air jernih yang nampak manfaat dan dilihat mudaratnya.

Beliau menyindir Pakatan Harapan dengan menyatakan: “PAS bukannya parti yang sifatnya angkut penyokong dan pengundi tanpa perhitungan. Makan diri kawan untuk naik. Angkut ahli sehingga menyusahkan diri. Nak cari setiap peluang tanpa perhitungan. Angkara dicipta sehingga menyusahkan rakyat. Hentam melulu tanpa tujuan yang betul. Ulama dan ilmuannya laksana terompah kayu yang digunakan sekadar untuk masuk ke tandas kemudian ditinggalkan”

Sehubungan itu, beliau menyeru seluruh ahli dan penyokong PAS supaya memilih politik jernih dan matang, bukan menangguk di air keruh yang mengelirukan dan menyusahkan semua.

No comments:

Post a Comment