Sunday 17 January 2016

Keluar PAS Sertai PAN Umpama Keluar Islam?

Bekas pemimpin PAS yang kini menyertai Pakatan Harapan melalui Parti Amanah Negara (PAN) telah hilang hidayah dan istiqamah dalam perjuangan Islam.

Ketua Pemuda PAS, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz berkata, beliau menyedari perkara itu apabila mendengar ucapan beberapa bekas pimpinan PAS terbabit.

“Saya mendengar ucapan yang telah keluar PAS dan membentuk parti baru. Maka saya bersyukur kepada Allah di atas nikmat istiqamah berjuang di jalanNya.

“Saya memohon perlindungan denganNya daripada kedahsyatan hati-hati yang telah diterbalikkan sesudah hidayah dan istiqamah,” katanya lagi.

Justeru, Nik Mohamad Abduh berkata , beliau berdoa supaya Allah memperteguhkan hatinya dan seluruh penyokong PAS kekal dijalan Allah dan bersyukur di atas segala petunjuk dan hidayah.

Beliau turut memperingatkan Allah tidak akan memberi hidayah kepada sesiapa yang disesatkannya.

Bekas pemimpin PAS yang disingkirkan dalam pemilihan parti Jun 2015 menubuhkan PAN yang kemudian menyertai Pakatan Harapan bersama-sama DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Mereka disingkirkan oleh PAS kerana dilihat terlalu cenderung kepada DAP dan PKR yang memperjuangkan fahaman sekular secara mutlak di Malaysia.

Timbul persoalan, keluar PAS sama dengan keluar Islam?

No comments:

Post a Comment