Wednesday 20 January 2016

ATRA TERUS GIAT DEKATI RAKYAT – OMAR ADAM

KUALA TERENGGANU: Agensi Transformasi Rakyat Terengganu (ATRA) akan meningkatkan program turun padang dalam mendekati serta mendalami isu-isu rakyat, sesuai dengan kehendak kerajaan negeri yang menekankan prinsip Transformasi Terengganu Baharu (TTB).

Pengarah ATRA, Omar Adam berkata, bagi mencapai hasrat tersebut, seramai 865 pegawai dan kakitangannya telah dan akan melaksanakan pelbagai program di peringkat akar umbi.

“Sebagai sebuah agensi yang bertanggungjawab antara lainnya sebagai penghubung antara kerajaan dan rakyat, ATRA komited untuk terus melaksanakan amanah tersebut dengan sebaik mungkin.

“Alhamdulillah sehingga kini kita telah menerima maklum balas yang sangat baik dan ATRA akan terus bergerak sesuai dengan peranannya,” kata beliau kepada Detik Malaysia di sini pada Selasa.

ATRA dijenamakan semula pada 3 November 2014 oleh Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman yang menjadi pencetus utama kepada gagasan TTB di negeri itu.

ATRA dipimpin Omar Adam atau lebih mesra dengan panggilan Cikgu Omar – seorang penggerak masyarakat dan penulis yang berbakat.

Sebelum ini, agensi itu dikenali sebagai Agensi Pembangunan Masyarakat Terengganu (APMT).

Mengulas lanjut, Omar, anak kelahiran Kampung Tanjung Sabtu, Manir berkata, penggerak ATRA juga akan meningkatkan pertemuan dengan pengundi di semua peringkat dan menjadi pendengar kepada setiap masalah mereka.

“Perkara yang dikemukakan kepada kami akan dicadangkan penyelesaiannya kepada pihak berkaitan agar masalah yang dihadapi rakyat akan dapat diselesaikan dengan baik.

“ATRA juga memberi fokus bagi membantu program-program di peringkat Dewan Undangan Negeri,” ujarnya.

No comments:

Post a Comment