Thursday 11 February 2016

Transformasi Orang Muda (TOM)

Pelancarkan program Transformasi Orang Muda (TOM) yang bertujuan untuk mengubah pendekatan bagi mengangkat kedudukan golongan muda di Terengganu ke satu tahap yang lebih baik.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Sumber Manusia Negeri, Dato’ Rozi Mamat berkata, TOM membawa aspirasi Transformasi Terengganu Baharu (TTB) dengan membuat anjakan perubahan kepada Program Dana Bakti Remaja.

“TOM menghargai impian dan harapan orang muda. TOM meraikan bakat, minat dan bakti orang muda melalui pelbagai saluran yang akan kita sediakan,” katanya hari ini.

Majlis Pelancaran TOM  disempurnakan oleh Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Razif Abd Rahman di Dewan Konvensyen, Taman Tamadun Islam, Kuala Terengganu.

TOM digerakkan bersama Kelab Generasi Baharu Terengganu (KGB) dan Persatuan Inspirasi Ikatan Wanita Muda Terengganu (INDAH) serta sokongan Skuad Sukarelawan TTB.

Program itu terbahagi kepada enam segmen iaituJelajah Orang Muda (JOM), Komuniti Orang Muda (KOM), Saf Orang Muda (SOM), Mukhayyam Orang Muda (MOM), Siber Orang Muda (.COM) dan Sukan Orang Muda (SukOM). 

Pengerusi KGB, Mohd Johari Abu Bakar berkata, sepanjang tahun 2016, program TOM mensasarkan penglibatan kira-kira 70,000 golongan muda bawah 40 tahun yang belum berkahwin termasuk pelajar institusi pengajian tinggi.

“Kita mahu mereka beraktiviti secara berkumpulan dengan cara yang sihat dan membina jati diri orang muda. Apa jua aktiviti matlamatnya untuk membentuk komuniti orang muda yang berdisiplin, prihatin dan peka kepada persekitaran,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Indah, Rozita Ismail memberitahu, semua aktiviti di bawah anjuran TOM dibimbing oleh fasilistator yang terlatih dan berpengalaman dalam kerja kemasyarakatan.

“Semua fasilistator akan diberi latihan dan kursus supaya harapan kita untuk memasyarakatkan golongan muda memdapat hasil yang positif.

“Kita akan bekerjasama dengan banyak agensi termasuklah Pejabat Daerah, pihak berkuasa tempatan, persatuan belia, komuniti setempat, agensi penguatkuasa seperti Polis dan Jabatan Pengangkutan Jalan serta persatuan-persatuan sukan,”.

No comments:

Post a Comment