Wednesday 7 September 2016

PAS Tidak Akan Serahkan Kerusi Selangor Kepada PAN.sebarkan @ share aje

Setiausaha PAS Selangor Mohd Khairuddin Othman menafikan parti itu berunding dengan PKR untuk menentukan pembahagian kerusi dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14.

Katanya PAS dan PKR kekal dengan kerusi masing-masing dan kini terserah kepada DAP untuk memberi kerusi kepada Parti Amanah Negara (PAN).

“Setakat yang kita (PAS) dan PKR setuju, semua kerusi kita kekal sebagaimana yang sedia ada mengikut PRU13.

“Kita tak akan bagi kerusi, tumpuan PKR adalah kerusi PKR dan tumpuan PAS adalah kerusi PAS. Sekarang terpulang pada DAP lah kalau dia nak bagi kerusi pada PAN,” katanya.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan akar umbi PAN yang mendakwa PAS kini menggunakan PKR untuk membuat rundingan bagi pihaknya dalam menentukan kerusi untuk ditandingi pada PRU14.

Semalam Naib Ketua PAN Sepang, Abdul Halim Mohd Sharif turut memberi amaran kepada PAS supaya jangan sekali-kali mencampuri dan memperkudakan PKR dalam rundingan kerusi yang melibatkan parti-parti dalam Pakatan Harapan.

Pada masa sama, Abdul Halim turut menggesa PKR menyatakan pendirian mereka sama ada mahu terus ‘bersekongkol’ dengan PAS atau meninggalkan PAN bersama DAP dalam gabungan itu.

Mengulas lanjut, Mohd Khairuddin yang juga ADUN Paya Jaras berkata beliau tidak tahu mengapa PAN  mengeluarkan kenyataan sedemikian, namun PAS tidak akan melayan perkara tersebut.

“Dia boleh cakap apa dia nak cakap sebab dia tak ada kerusi. Kita tak akan layan kata-kata macam tu sebab kita tak ada kepentingan dengan PAN.

“(Dan) kita tak perlu berunding sebab kita dah ada kerusi,” tegasnya.

Pada PRU13, Pakatan Rakyat- gabungan parti PAS, PKR dan DAP memenangi 44 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor.

PKR memenangi 14 kerusi berbanding DAP dan PAS yang masing-masing memperoleh 15 kerusi. BN memenangi 12 kerusi.

No comments:

Post a Comment