Wednesday 13 July 2016

PAS terus jadi pembangkang, tak sertai Pakatan Harapan . Sebarkan @ kongsi aje

KUALA LUMPUR: Presiden PAS Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menegaskan parti itu akan terus menjadi pembangkang tetapi tidak akan menyertai Pakatan Harapan.

Menurut Abdul Hadi, PAS akan mengambil pendekatan 'menerang' bukannya 'menyerang' antara satu sama lain.

"Hujah yang menerang tidak menyerang. Ini pendekatan yang kita ambil," tegas beliau yang juga Ahli Parlimen Marang pada sidang media di lobi Parlimen hari ini.

Jelasnya, sebarang perubahan yang hendak dilakukan mestilah berteraskan Islam yang menjadi dasar, konsep dan matlamat PAS.

Bahkan katanya, PAS tidak akan menyertai sebarang langkah yang tidak berteraskan kepada Islam kerana PAS tidak mungkin menaiki 'bas ekspress' yang tidak pasti sampai ke destinasi yang dituju.

Abdul Hadi juga menegaskan PAS mahukan proses demokrasi yang beradab dan berakhlak dalam masa yang sama tidak melupai konsep Raja Berpelembagaan dan mesti memelihara hubungan dengan masyarakat majmuk.

Justeru, ujar beliau, PAS sedia bertemu dengan kerajaan dan bersemuka dengan sesiapa sahaja di kementerian termasuk Perdana Menteri untuk kemukakan cadangan-cadangan terhadap perkara yang tidak dipersetujui PAS.

"Misalnya GST. PAS tidak setuju dengan GST dan PAS ingin mencadangkan apakah inisiatif untuk menampung hasil kerajaan selain GST.

"Kita ada cadangan cuma tak cukup masa hendak bentang di Parlimen. Termasuk penurunan nilai mata wang. Kita ada pendekatan bagaimana meningkatkan dan mempertahankan nilai mata wang kita. Kita ada cadangan," kata beliau.

Tegasnya, pendekatan inilah yang diketengahkan PAS dalam menerangkan isu-isu kerana PAS lebih mahu memelihara hubungan dengan rakyat bukan dengan Ahli Parlimen sahaja.

Turut bersama dalam sidang media itu ialah Ahli Parlimen Kota Bharu Datuk Takiyuddin Hassan, Ahli Parlimen Kuala Nerus Datuk Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali, Ahli Parlimen Bukit Gantang Idris Ahmad dan Ahli Parlimen Bachok Ahmad Marzuk Shaary.

No comments:

Post a Comment