Wednesday 17 August 2016

Ahmad Razif arah siasat dakwaan Azizulhasni. Sebarkan

KUALA TERENGGANU 17 Ogos – Menteri Besar, Ahmad Razif Abdul Rahman mengarahkan Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) Terengganu menyiasat dakwaan jaguh lumba basikal negara, Azizulhasni Awang yang kecewa kerana permohonannya mendapatkan basikal sebagai persediaan menghadapi Olimpik Rio dikatakan tidak mendapat perhatian kerajaan negeri.

Ahmad Razif menegaskan, beliau amat terkilan sekiranya dakwaan itu berasas, dan sehubungan itu turut meminta Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Sumber Manusia negeri, Datuk Rozi Mamat memberi perhatian terhadap isu berbangkit bagi mendapatkan kesahihan.

Beliau menegaskan permohonan jaguh kelahiran Dungun itu yang dikatakan ditujukan kepadanya adalah di luar pengetahuannya namun tidak menolak kemungkinan ia disebabkan ‘terlepas pandang'.

"Saya tidak tahu cerita ini, saya tak dapat pengesahan lagi mengenainya. Saya minta MSN dan Datuk Rozi jalankan siasatan dan lihat semula perkara ini. Saya tidak mahu komen apa-apa sehingga saya dapat betul-betul pengesahan untuk kita buat tindakan sewajarnya.

"Setakat hari ini, saya tidak tahu menahu hal ini dan saya juga tak kenal siapa pengurus Azizul (yang dikatakan menghubungi Ahmad Razif). Kalau betul (dakwaan), saya bagi pihak kerajaan memohon maaf," katanya.

Sementara itu, Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaludin menasihatkan Azizulhasni supaya meraikan kemenangannya terlebih dahulu dan tidak terlibat dengan polemik lain pada masa ini.

Katanya, kritikan Azizulhasni terhadap Ahmad Razif tidak sepatutnya merosakkan sambutan kemenangan.

“Saya akan maklumkan kepada Azizulhasni, adalah lebih baik dia raikan kejayaan di Olimpik dulu.

“Dalam aspek sukan, dia telah membuktikan kedudukannya malah dia gembira dengan pencapaian itu, mungkin ada benda yang terlepas pandang sehingga perkara ini berlaku,” katanya di Rio.

Beberapa jam selepas memenangi gangsa, Azizulhasni dalam satu entri di laman media sosial miliknya menyindir Ahmad Razif yang didakwa tidak melayan permohonan tajaan sebuah basikal ‘RoadBike’ untuk kegunaannya dan seorang lagi Olimpian Terengganu, Fatehah Mustapa.

No comments:

Post a Comment